‘Tolong kongsi lokasi semasa tidak kira anda perempuan atau lelaki’

Kesayangan semua, tolong kongsi keberadaan kalau sedang bersendirian, tak kisah perempuan atau lelaki.”

Demikian nasihat pelakon Sweet Qismina yang  meminta orang ramai agar lebih cakna dengan berkongsi lokasi semasa kepada keluarga terutama ketika bersendirian.

Terkesan dengan insiden menimpa penyanyi dan YouTuber Allahyarham Nidza Afham, pemilik nama sebenar Farhanna Qismina Supandi, 27, menegaskan tidak kira lelaki mahupun wanita perlu mengambil langkah tambahan demi menjaga keselamatan diri.

Tak kisah kalau awak mahir dalam seni mempertahankan diri, gengster macam mana sekali pun tolong kongsi keberadaan anda dengan keluarga,” katanya menerusi InstaStory.

Pada masa sama, isteri kepada pelakon Adam Lee itu turut mengingatkan orang ramai agar jangan  berkongsi lokasi dalam media sosial kerana boleh menjadi perhatian mereka yang mempunyai niat tidak baik

“Orang kata menjengkelkan nak kemas kini 24 jam pun buatlah. Jangan rajin sangat kongsi lokasi awak dalam media sosial.

“Kongsi satu jam atau sehari selepas berada di tempat kejadian. Kalau rasa tak sedap hati, jangan muat naik dulu.

“Orang boleh kesan lokasi dan serang anda bila-bila masa sahaja,” ujarnya lagi.

TANGKAP layar nasihat Sweet Qismina berhubung kes Allahyarham Nidza Afham 

Kesal dengan apa yang berlaku kepada abang penyanyi Aufahanie, Sweet menganggap insiden membabitkan arwah sebagai pengajaran kepada semua agar lebih berwaspada.

Biar ada privasi dalam media sosial tetapi bukan dengan keluarga. Nasib arwah kongsikan aktiviti dia.

“Kalau tidak, kita tak akan dapat tahu (kehilangan Nidza). Salam takziah, Aufahanie,” jelasnya.

Awal pagi semalam berita kehilangan peserta program Big Stage musim ketiga itu dikongsi adiknya yang juga penyanyi, Aufahanie bagi memohon bantuan orang ramai mengesan atau memberikan maklumat berkaitan kehilangan abangnya itu.

Namun tidak sampai 24 jam pencarian, Allahyarham ditemukan sekitar pukul 7 malam kira-kira satu kilometer dari lokasinya dilaporkan hilang iaitu berhampiran Jambatan Sungai Klang di Klang, Selangor. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok