TIDAK tahan hidup derita dalam neraka buatan, pempengaruh media sosial Indonesia Cut Intan Nabila atau Intan mendedahkan dibelasah suaminya iaitu Armor Toreador dalam satu kejadian terbaru.
Masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak ketiga pada 24 Julai lalu, Intan berkongsi insiden dilalui menerusi sebuah rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) di bilik tidur mereka.
Difahamkan lelaki terbabit bukan sahaja melakukan keganasan rumah tangga, bahkan beberapa kali kantoi curang sepanjang lima tahun perkahwinan mereka.
Menurut Intan yang juga bekas atlet fencing kebangsaan, banyak lagi video disimpan sebagai bukti keganasan dilakukan suaminya sepanjang tempoh perkahwinan mereka.
Selama ini saya bertahan kerana anak, ini bukan kali pertama saya berdepan keganasan rumah tangga. Ada puluhan video lain yang saya simpan sebagai bukti.
“Lima tahun berkahwin banyak nama wanita mewarnai rumah tangga saya termasuk membabitkan beberapa rakan saya.
Saya sudah berkali-kali memaafkan tapi tak pernah terbuka hatinya, ternyata benar kecurangan dan kekerasan rumah tangga tidak akan pernah berubah,” katanya.
Dalam rakaman yang dimuat naik semalam, dapat dilihat Armor memukul, menendang dan mencengkam wanita itu berkali-kali.
Lebih menyayat hati, meskipun menjerit kesakitan, si suami tetap memukulnya tanpa sebarang belas kasihan.
Dalam video berdurasi beberapa saat itu, lebih mengejutkan Armor juga dilihat menendang bayi mereka yang masih berusia 22 hari.
Menurut wanita asal Banda Acheh itu, dia tidak lagi mampu bersabar sekali gus terpaksa menggunakan media sosial untuk mempertahankan diri dan anak-anak.
“Saya seorang yang tidak pernah membuka aib rumah tangga saya. Saya menjaga martabatnya tapi hari ini saya sudah tidak boleh menahan semua sendiri,” luahnya.
Difahamkan, Armor merupakan pengasas dan ketua pegawai eksekutif syarikat perniagaan dandanan rambut terkemuka di negara itu.
Lelaki lulusan Universiti Al Azhar Indonesia itu juga adalah anggota Badan Pengurus Daerah Himpunan Pengusaha Muda Indonesia (Hipmi) Jawa Barat.
Sehingga kini video tersebut meraih 167 juta tontonan dan mendapat 1.2 juta komen termasuk daripada selebriti Indonesia yang meminta Intan membebaskan diri daripada perkahwinan toksik itu dan membuat laporan polis.
Moga kuat ya Intan, Allah Taala jaga Intan dan anak-anak. Lelaki itu akan dapat ganjaran dunia dan akhirat,” kata penyanyi dan pelakon, Shireen Sungkar.
Armor kini berada dalam tahanan polis selepas dicekup di Jakarta iaitu sebaik Intan membuat laporan di Balai Polis Bogor atas tuduhan melakukan keganasan domestik. – HIBGLAM
View this post on Instagram