SELEPAS berjaya melayakkan diri sebagai 11 peserta Hero Remaja 2020, karier jejaka berdarah Tionghua, Thompson Goh, 26, mula berubah haluan.
Bermula sebagai pempengaruh media, Thomson kini bergerak aktif sebagai pelakon.
Pertama kali muncul dalam filem Kahar: Kapla High Council, jejaka kelahiran Sarawak yang mesra disapa sebagai Tom itu bersemamngat, bahkan bersyukur kerana impiannya untuk menjadi anak seni sedang berlangsung di landasan sepatutnya.
Biarpun mengambil masa lama sebelum terjun ke dalam bidang lakonan, Tom selesa dengan perjalanan kehidupannya yang bermula sebagai pereka kandungan digital.
Meskipun dilihat agak ketinggalan berbanding rakan seangkatannya seperti Nadhir Nasar dan Meerqeen, Tom tetap positif dan tidak berasa terpingkir apatah lagi terlewat untuk bergelar pelakon.
“Saya tidak pernah berasa ketinggalan atau berada di posisi belakang. Sejujurnya saya sangat menyokong kerjaya mereka. Bagi saya setiap yang berlaku itu mempunyai sebab tersendiri dan saya yakin dengan setiap ketentuan.
“Setidak-tidaknya, saya mampu membuat persiapan sebelum benar-benar bersedia sebagai pelakon.
“Sebelum ini bahasa Melayu saya agak kurang fasih kerana banyak bertutur dalam bahasa Mandarin,” katanya.
Tambahnya, dia kerap menggunakan bahasa Melayu ketika memuat naik kandungan atau berinteraksi dengan pengikut dalam media sosial.
Saya akan guna sahaja bahasa Melayu untuk kandungan, tetapi dengan keluarga dan rakan-rakan masih bercakap dalam bahasa Mandarin.
“Cara ini secara tidak langsung membantu saya lebih mahir dan lancar bertutur dalam bahasa Melayu,” terangnya,
Pertama kali beraksi untuk layar perak, Tom sebenarnya tidak sabar menantikan reaksi penonton terhadap filem Kahar: Kapla High Council pada November nanti.
Mengakui agak tertekan ketika awal pembikinan, Tom bagaimanapun menganggap perkara tersebut sebagai cabaran.
Ini pertama kali saya serius dalam lakonan. Pada awalnya agak tertekan terutama ketika ingin melakonkan babak aksi.
“Saya tidak tahu bagaimana nak lakukan babak pergaduhan tetapi tidak mencederakan.
Awalnya memang banyak yang tidak menjadi, tetapi sokongan daripada kru produksi dan rakan-rakan artis lain membuatkan saya yakin dan mampu melakukannya dengan baik,” jelasnya.
Tom juga berterima kasih kepada pengarah, Razaisyam Rashid yang banyak membantunya memberikan lakonan terbaik.
“Bagi memantapkan teknik, saya merancang untuk mengikuti kelas lakonan,” katanya.
Dalam masa sama, Tom juga tetap akan berkongsi mesej positif tentang penjagaan kesihatan dalam media sosialnya.
Tak kiralah sebagai pereka kandungan akan selebriti, saya tetap akan menyebarkan aura positif dan tidak terlibat dengan kontroversi atau perkara yang boleh memalukan diri dan keluarga,” katanya.
Selain Tom, Kahar: Kapla High Council turut dibintangi oleh Amir Ahnaf, Aedy Ashraf, Hasnul Rahmat dan Nadhir Nasar. – HIBGLAM