Jurang usia 15 tahun, Sarah Suhairi bahagia jadi ibu segera

RONA putih menjadi tema penyatuan ikatan suci antara penyanyi Sarah Suhairi dan suaminya, Aswad Anuar.

Sungguh, empat tahun perkenalan menilai hati budi, juara Big Stage musim pertama itu tidak menyangka akan bergelar isteri pada usia muda, sementelah masih merangkak mengukuhkan nama dalam arena seni.

Namun, tiada siapa mampu menolak ketentuan Allah, apatah lagi dipertemukan jodoh dengan lelaki matang yang mempunyai kecenderungan sama, Aswad Anuar, 39.

PENGANTIN perempuan menerima mas kahwin berupa gelang tangan emas bersama tujuh dulang hantaran berbalas lima.

“Kalau ikut perancangan masa zaman sekolah dahulu saya bukan kahwin tahun ini sebab banyak lagi impian belum dapat saya tunaikan.

Tetapi inilah yang dikatakan jodoh, ajal, maut di tangan Tuhan, kita cuma merancang.

“Akhirnya, saya bertemu teman hidup lebih awal dengan lelaki yang matang dan lebih tenang.

Melihat jarak usia kami yang berbeza 15 tahun, sememangnya sikap kami berlawanan. Saya jenis tak sabar, dia pula tenang.

“Dia juga mampu bimbing saya, itu paling utama,” kata selebriti berusia 24 tahun itu.

Duda tiga anak

SARAH dinikahkan bapanya sendiri dan sah menjadi isteri Aswad Anuar hanya dengan sekali lafaz pagi Jumaat lalu.

Tidak menyembunyikan status suami sebagai duda, akui Sarah mereka hanya mahu melayari kehidupan bahagia bersama keluarga termasuk tiga anak Aswad yang berusia 14, 10 dan lapan tahun.

Ketika perkenalan awal, Aswad sudah setahun bergelar bapa tunggal dan kemudian saya dipertemukan dengan tiga puterinya.

“Mereka menerima kehadiran saya dalam hidup mereka, begitu juga kawan-kawan rapat saya. Mereka dah kenal baik.

Saya tak kisah menjadi ibu ‘segera’. Sebelum ini mereka panggil saya ‘auntie Sarah’, mungkin selepas ini panggil saya ibu,” katanya ketika ditemui HibGlam selepas pernikahannya di Berern Hill, Hulu Langat.

Majlis yang berlangsung pada pagi Jumaat lalu turut diserikan kehadiran 100 tetamu, termasuk rakan artis iaitu Wani Kayrie, Sissy Iman, Naim Daniel dan Afiq Shazwan.

SARAH dan Aswad bergambar bersama ibu bapa masing-masing.

Diadakan di ruang acara berkonsepkan bangsal, The Berenr Hulu Langat, hakikatnya itu antara bayangan mengimbau detik perkenalan di Pusat Ekuestrian Bukit Kiara berikutan masing-masing meminati sukan berkuda.

“Mungkin ada yang tak tahu, Aswad selain pensyarah adalah jurulatih sukan berkuda dan kerap dipanggil menjadi juri, manakala saya aktif sukan berkuda sejak usia 14 tahun, jadi kelompok kawan kami adalah orang yang sama.

Di situ perkenalan kami yang bermula sebagai sahabat. Minat yang sama ini membuatkan kami jadi serasi kerana Aswad juga banyak bagi tip mengenai sukan ini.

“Ketika hubungan kami berlangsung pun dia kerap temani saya di beberapa persembahan. Dari situ dia dapat lihat pula suasana kerja saya sebagai penyanyi,” kongsinya yang berhasrat berbulan madu di Denmark satu hari nanti. – HIBGLAM

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok