RIMAS! Itulah yang dirasai pendatang baharu, Fitri Farok apabila dihujani ganggunga seksual daripada kaum sejenis.
Lebih teruk, ada yang sanggup menawarkan RM100,000 semata-mata mahu bersamanya di ranjang.
“Bohong kalau saya cakap tiada. Nak kata saya tak perasan perkara itu tipulah. Saya tidak akan layan dan baca komen mengarut macam itu.
Banyak komen yang terlalu ekstrem saya terima seperti gambar lucah, tunjuk kemaluan bahkan siap ajak jumpa. Ada juga yang pernah tawarkan RM100,000 untuk bersama.
“Kalau teruk sangat macam itu saya akan sekat mereka dan tidak pernah balas,” katanya kepada HibGlam semalam.
Cucu kepada pelakon veteran Normah Damanhuri yang ditemui semasa sesi fotografi drama Anak Anak Mafia itu memaklumkan gangguan tersebut tidak menghalangnya untuk aktif dalam media sosial.
Kalau tanya saya akan mengehadkan konten atau tak dalam media sosial, saya akan jawab tengok pada keadaan juga. Ada yang boleh saya kongsi dan ada juga yang tak boleh,” tuturnya.
Dalam masa sama, Fitri, 25, yakin segelintir individu yang sering mengganggunya bukan peminat kerana penyokongnya tahu batas.
Mereka tahu jaga batas. Saya tak pernah lagi berdepan dengan peminat yang keterlaluan. Mereka yang kacau saya itu bukan peminat tegar saya.
“Peminat saya tak ada yang peluk berlebih-lebihan. Pengurus saya selalu pesan agar kena berhati-hati dan pandai jaga diri,” jelas Naib Juara Hero Remaja edisi 2023 itu.
Sebelum ini, pelakon dan model itu sering menerima komen-komen nakal daripada kaum lelaki dalam Instagram terutama sekali mengenai tubuh badannya. – HIBGLAM