Jung Joon-young buat hal lagi

SEPERTI tidak serik-serik, penyanyi Jung Joon-young didakwa dengan berani mencium beberapa wanita di sebuah kelab malam di Paris pada 8 Julai lalu.

Menerusi video yang tersebar, jejaka berusia 35 tahun itu dilihat sedang berbual dengan beberapa orang wanita di bahagian bar kelab tersebut sebelum bertindak mencium mereka.

Menurut sebuah laporan daripada seorang saksi, Joon-young itu turut meminta akaun Instagram mereka dengan alasan mahu menjemput mereka ke acara pembukaan restorannya di Lyon, Perancis.

Malah dia dengan bangga memberitahu identitinya sebagai seorang penyanyi terkenal di Korea Selatan.

“Dia berada di bar mengurat beberapa wanita, siap minta akaun Instagram dengan alasan mahu mengajak mereka ke pembukaan restoran miliknya.

“Dia perkenalkan dirinya sebagai Jun selain mengaku seorang penyanyi terkenal dari Korea Selatan,” kata saksi berkenaan dalam platform media sosial.

Sebelum ini, Joon-young pernah merancang membuka sebuah restoran makanan Korea di Paris pada 2018, namun rancangan itu musnah apabila dia terlibat dalam skandal Burning Sun.

Pada 2020, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan melakukan jenayah rogol selain merakam dan menyebarkan video aksi seks tanpa kebenaran. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok