Jangan sakiti, aniaya haiwan – Siti Khadijah

PELAKON Siti Khadijah mengakui terkilan dan kecewa apabila masih wujud segelintir manusia tidak berhati perut menganiaya haiwan.

Ujar Siti atau nama sebenarnya Siti Khadijah Halim, 27, dia memahami sekiranya terdapat individu berasa takut dengan haiwan tetapi itu bukan alasan untuk mereka bersikap kejam.

Saya tahu ada yang takut kucing, anjing, katak dan sebagainya tetapi kalau anda tidak suka, saya merayu janganlah sakiti makhluk ini.

“Saya baru sedar yang haiwan juga mempunyai perasaan sama seperti manusia. Ada perangai, trauma dan ketakutan.

Ya ada yang ambil mudah terhadap haiwan kerana tidak berdaya dan tidak boleh bercakap. Namun itu tidak memberi anda hak sakiti ‘mereka’! Saya pantang kalau nampak orang cuba aniaya haiwan,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.

Menerusi perkongsian itu, Siti dilihat memuat naik foto bersama seekor anjing dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat agar memelihara kebajikan haiwan.

Pada masa sama, Siti juga berkongsi cerita sewaktu kanak-kanak dia pernah dikejar anjing ketika menunggang basikal sehingga membuatkannya trauma namun bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

Masih tersisa perasaan takut terhadap anjing namun pelakon drama From Saga With Love itu mencuba sehabis daya mengatasi ketakutannya.

“Sekarang pun masih lagi agak takut dengan anjing tetapi saya gembira kerana dapat mengatasi ketakutan ini.

Bukan hanya takut dengan anjing, saya juga takut gelap, laut dalam dan banyak lagi.

“Tapi saya sekarang sudah hebat, boleh tidur di bilik gelap dan saya suka aktiviti menyelam. Saya gembira dengan perubahan yang dapat dilakukan dalam hidup ini,” ujarnya.

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen memuji sikap empati pelakon terbabit selain menyokong
kenyataannya yang menolak penganiayan terhadap makhluk tidak berdosa. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok