SELEPAS heboh dakwaan penyanyi Mahalini menjalani pembedahan plastik, suaminya Rizky Febian pula muncul dengan bentuk hidung yang lebih mancung.
Sekali gus, netizen yakin pasangan terbabit menjalani prosedur membentuk hidung agar lebih kecil berbanding keadaan asal.
Malah menerusi dua foto dalam Instagram pelantun lagu Hingga Tua Bersama itu jelas perbezaan antara gambar lama dan terkini termasuk bahagian dagu.
Sementara itu, Mahalini yang terkenal dengan lagu Sial pula sebelum ini sudah memberi bayangan bakal melakukan pembedahan bagi membetulkan tulang hidung bengkok yang mengakibatkannya kerap selesema.
Perkara tersebut dikongsikan menerusi sesi siaran langsung soal jawab dalam Instagram dengan pengikutnya.
Manakala suaminya pula belum membuka mulut, namun bapa Rizky yang juga pelawak terkenal mengesahkan anaknya hanya menjalani prosedur menyelesaikan masalah sinus atau resdung.
Katanya, Rizky, 26, menemani Mahalini ke Korea Selatan untuk bercuti menjalani rawatan masalah hidung, bukan pembedahan plastik.
“Rizky tak dapat sambut hari raya (Aidiladha) sebab dia dan isterinya ke Korea Selatan pada 17 Jun bagi menjalani pembedahan.
“Minta doa sebab sejak kecil dia memang mengalami masalah sinus yang teruk dan disebabkan itu cecair pada bahagian hidungnya perlu dikeluarkan,” katanya.
Begitupun netizen tidak ‘termakan’ alasan diberikan Sule bahkan meninggalkan pelbagai komen mendakwa rawatan sinus tidak akan mengubah bentuk hidung seseorang.
“Ada ahli keluarga saya juga buat rawatan membuang cecair dari dalam rongga hidung tapi bentuk hidungnya tidak berubah,” kata seorang netizen. – HIBGLAM