PELAWAK Achey menganggap pasangan muda yang memilih untuk tidak mempunyai anak atas prinsip ‘childfree’ yang menjadi trend pada waktu ini sebagai ideologi kurang bijak.
Mengakui hati terguris dan terkilan, Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, 37, terkesan dengan gaya hidup sedemikian memandangkan dia dan isteri tidak putus berjuang agar dikurniakan zuriat.
Itu adalah ideologi yang bodoh. Banyak lagi perkara lain yang boleh kau benci atau tak suka. Tetapi kenapa perlu melibatkan cahaya mata. Secara tidak langsung kau telah mengguriskan hati pejuang-pejuang macam saya.
“Kes saya pula jika mengikut sains dan perubatan, isteri saya memang sudah tidak boleh hamil sebab dah potong kedua-dua tiub kiri dan kanan. Kecuali diizinkan Allah.
Satu hari saya harap pasangan itu akan terbabas. Bukan terbabas kereta, tetapi terbabas dikurniakan cahaya mata. Dik, saya percaya suatu hari kalian pasti akan faham apa itu nikmat sebenar yang dipanggil ibu bapa,” ujarnya menerusi satu rancangan hiburan.
Pelantun lagu Sakit itu juga turut mempersoalkan nilai kemanusiaan dalam diri pasangan tersebut selain meminta mereka muhasabah diri.
“Saya tidak setuju jika mereka kata memang tidak mahu ada anak, tetapi kalau mereka kata merancang belum mahu ada sehingga ekonomi kukuh, itu saya boleh terima.
Mana nilai kemanusiaan kau. Saya masih ingat apa yang dikatakan mereka ‘nanti anak macam mana, siapa nak jaga, kalau dah besar nanti perangai bagaimana’
“Cuba renung balik perangai kalian apabila kata begitu. Pasti mak ayah kalian kecewa dengan kenyataan itu,” tuturnya.
Achey berkahwin dengan Nor Hasanah Yahya pada 2011 namun belum dikurniakan cahaya mata meski sudah 14 tahun hidup bersama.
Begitupun, pasangan terbabit mempunyai seorang anak angkat perempuan bernama Nur Tiara Zinnirah.
Terdahulu, tular pasangan suami isteri yang mengaku mengamalkan konsep kehidupan tanpa zuriat sehingga menjadi perdebatan ramai.
Ujar pasangan terbabit, mereka merancang untuk hidup berdua kerana berpendapat kehadiran zuriat dalam rumah tangga sebagai bebanan. – HIBGLAM