Isu muka tak boleh jual, jumlah pengikut, Kodi Rasheed okey!

SEDAR tidak memiliki wajah tampan seperti aktor lain, pelakon Kodi Rasheed berlapang dada apabila kerap kali namanya dipinggirkan penerbit mahupun sutradara apabila kriteria muka boleh jual dan jumlah pengikut diambil kira dalam sesi pemilihan pelakon.

Positif, Kodi atau Mohd Zhazmeer Mohd Rasheed, 33, berpasak teguh kepada rezeki Tuhan dan tumpang gembira melihat rakan-rakan seangkatan meraih kejayaan dan tawaran tanpa henti dalam dunia lakonan.

Jangan risau aku okey sahaja. Sebab aku tahu rezeki aku Allah sudah susun.

“Aku gembira tengok sahabat lain terbang tinggi dan gembira sekiranya orang atasan (penerbit) yang tak percaya dekat aku untuk kerjasama kerana akan ada hikmah sebaliknya.

“Insya-Allah nanti kita jumpa dekat atas okey,” luahnya menerusi hantaran dalam Instagram.

Dalam hantaran tersebut, Kodi juga berkongsi beberapa perbualan alasan pihak atasan tentang rupa paras dan pengikut media sosialnya.

Muka Kodi boleh jual ke? Pengikut Kodi tak ramai! Kodi pilihan terakhir kalau pelakon lain tak ada masa dan kalau letak muka Kodi dekat poster boleh tarik penonton ke?,” antara kata-kata diterimanya.

Semakan Kosmo! Online menerusi ruangan komen, rata-rata netizen tidak senada dengan kenyataan tersebut malah memuji bakat lakonan dimiliki aktor tersebut.

Malah mereka juga mengatakan tidak terlepas menonton setiap drama lakonannya.

Kadang kalau hero hensem tapi lakonan kelaut tak guna juga. Tapi kalau ada Kodi mesti aku tengok cerita itu. Kita tengok kualiti dan cara dia berlakon. Mesti filem itu berkualiti,” kata netizen itu.

“Hakikat industri tempatan kita macam itulah, pandang rupa dan pengikut dulu. Kodi ini selalu dipandang rendah tapi bila berlakon mesti bagi yang terbaik,” demikian komen seorang pengguna media sosial.

Senario sedemikian bukan asing dalam industri seni tanah air, perkara sama turut dihadapi pelakon hebat seperti Amerul Affendi, Faez Malek dan Silfeny Osman sebelum ini yang dipinggirkan kerana tidak mempunyai pengikut serta rupa paras dianggap tidak menepati kehendak penonton. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok