DIA bintang dalam liga tersendiri! Frasa tersebut sudah cukup menterjemahkan posisi pengaruh figura bernama Aina Abdul.
Namanya bukan sahaja meniti di bibir khalayak dek nyanyian ‘berhantu’, bahkan ‘kegilaan’ busana yang digayakan dalam setiap persembahan turut mengukuhkan reputasinya.
Bagi segelintir orang, Aina dilabel penyanyi pelik, namun sebaliknya pula tafsiran para pemujanya sehingga dia penghibur ekstravaganza.
Untuk segala persepsi tersebut, bagi Aina, bukan gelaran yang dikejar, sebaliknya penerimaan peminat setia iaitu Ainations terhadap setiap kejutan yang disediakan dalam setiap acara lebih utama.
Dia tidak mengejar sebarang jolokan dengan busana-busana yang digayakan. Itu yang ditegaskan pemilik nama penuh Nurul Aina Abdul Ghani itu kepada HibGlam baru-baru ini.
Ratu gimik? Saya tak kisah diberikan gelaran apa pun sebab sentiasa bersyukur melihat reaksi peminat.
“Respons peminatlah yang paling saya nanti-nantikan berbanding mengejar gelaran mahupun apa sahaja jolokan,” kata penyanyi berusia 31 tahun itu.
Seperti sudah sebati dalam diri, sifat mencari kelainan untuk setiap persembahan juga diibaratkan seperti hadiah atas sokongan peminat selama ini.
Disebabkan itu, perasaan ingin tampil dengan busana yang adakalanya dilabel ‘ekstrem’ membuak-buak dalam diri.
Sebab itu apabila ada persembahan penting besar, saya akan cuba sedaya- upaya tampil dengan fesyen atau konsep berbeza serta mencipta kelainan.
“Saya mahu muncul dengan konsep dan penampilan mengujakan supaya kemunculan saya sentiasa diingati peminat,” ujarnya.
Tutup cerita tentang fesyen yang tidak pernah habis dibahas setiap kali bertemu, anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu teruja bercerita tentang pembikinan single baharu termasuk proses penghasilan album keduanya.
Dalam tempoh beberapa bulan ini, saya banyak habiskan masa di rumah untuk menghasilkan buah tangan iaitu album yang lebih istimewa daripada tahun lepas untuk para peminat.
“Apabila saya sudah berada dalam fasa menghasilkan karya kreatif, pastinya saya akan menyendiri. Itu cara saya untuk mengeluarkan segala rasa dalam jiwa ini,” katanya lagi.
Lari daripada kebiasaan, Aina mengakui mendapatkan khidmat daripada beberapa komposer tempatan buat pertama kali.
Saya sangat gembira tahun ini akan ada banyak kolaborasi dengan komposer lain.
“Sebelum ini kebanyakan lagu saya hasilkan sendiri. Rasa-rasanya sudah tiba masa untuk mencuba sesuatu yang baru.
Karier saya kalau dikira betul-betul aktif dalam industri adalah bermula tahun 2019. Sekarang sudah 2024 dan saya nak cari bunyi yang baharu serta nak cuba dalami rasa orang lain,” kongsi pelantun lagu Sumpah itu.
Dalam masa sama, dia juga mahu membuang sikap ego dalam penghasilan sebuah karya muzik selain memilih untuk mendekati pemuzik lain sendiri.
“Bukan nak cakap tak mampu sebab saya sendiri banyak lagi rasa yang belum dikeluarkan cuma tak mahu jadi penting diri dalam muzik lagi.
Kalau boleh saya nak faham orang dan mereka juga boleh dalami dunia saya. Kali ini saya mengambil langkah untuk ‘approach’ mereka sendiri.
“Tiada lagi malu-malu dan segan nak tegur,” ujar bekas peserta Mentor Legend itu.
Aina bagaimanapun menafikan bahawa keputusannya untuk membuka ruang kerjasama itu kerana ingin lari daripada muzik kebiasaannya.
Saya nak cuba bunyi baharu sebagai aina Abdul dan mahu tonjolkan sisi yang orang tak pernah nampak sebelum ini.
“Saya lari daripada kebiasaan adalah disebabkan nak cari kepuasan diri sendiri, bukannya nak lari dari tipikal atau sebagainya,” tuturnya lagi.
Dia juga tak menafikan hatinya mula terbuka untuk menjalin kerjasama dengan komposer lain sejak mempunyai projek kolaborasi bersama komposer terkemuka Indonesia, Melly Goeslaw sebelum ini,
Menerusi lagu ciptaan Melly tersebut, Aina turut berduet bersama Fabio Asher.
Lagu tersebut merupakan runut bunyi bagi filem Cinta Tak Pernah Tepat Waktu arahan Hanung Bramantyo yang akan ditayangkan tidak lama lagi.
Kerjasama dengan Melly antara sebab pintu hati saya mula terbuka untuk berkongsi kreativiti dalam berkarya.
“Semangat yang saya dapat di Indonesia itu saya bawa pulang ke sini.
Banyak benda saya belajar daripada Melly termasuk cara interpretasi rasa dalam sebuah lagu,” tutupnya. – HIBGLAM