Seakan-akan masih bermimpi, pelakon Elfira Loy mendedahkan sudah selamat tiba di Jeddah, Arab Saudi sebelum ke Mekah bagi menunaikan ibadah haji.
Kata Elfira atau nama lengkapnya, Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 30, perasaannya bercampur-baur apabila terpilih sebagai tetamu Allah untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu.
“Perjalanan sangat lancar dan cuaca juga menyenangkan. Saya memang sangat teruja nak sampai ke Tanah Suci.
“Namun sedih, tak percaya Allah jemput,” tulisnya dalam perkongsian Instagram.
Elfira yang mendapat panggilan haji kurang dua minggu dari tarikh berlepas ke Tanah Suci mengakui membuat persediaan dalam tempoh singkat.
Beberapa perkara termasuk ketika urusan ketibaan di Arab Saudi Juga harus dilakukan sendiri memandangkan jemputan diberi pada saat akhir.
Namun, baginya semua itu tidak menjadi masalah bahkan segala perkara berjalan tanpa sebarang kekangan.
“Disebabkan ini jemputan saat akhir daripada Saudi Arabia, jadi semua kena urus sendiri. Visa dan ‘check in’ akan minta kita tunjuk sendiri.
Tetapi semuanya berjalan lancar. Alhamdulillah,” kongsinya lagi.
Menerusi hantaran sama, ibu kepada seorang cahaya mata itu tidak ketinggalan membuka peluang kepada orang ramai menitipkan doa.
Bagi tujuan tersebut, Elfira membuka ruang dalam laman sosialnya untuk sesiapa mengirimkan doa mereka dibacakan di Tanah Suci nanti.
“Insya-Allah akan berangkat ke sana (Mekah) bila tiba musim haji nanti. Boleh sahaja titipkan doa kat sini, nanti insya-Allah saya akan kumpulkan.
Banyak sangat nak cerita perjalanan haji ini tapi nantilah saya cerita okey,” katanya.
Menerusi ruangan komen, ramai pengikut dan rakan seperjuangan mendoakan pelakon Cinta Tanpa Syarat itu beroleh haji yang mabrur.
“Semoga dipermudahkan segala urusan dan dikurniakan haji yang mabrur,” ujar pengikutnya.
Terdahulu, Elfira bersama beberapa selebriti lain termasuk pelawak Johan mendapat jemputan khas Kementerian Media Arab Saudi menunaikan haji musim ini. – HIBGLAM