PENYANYI dan usahawan Fitri Haris berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM2,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai penyanyi Azadan Rabbani.
Fitri atau Mohamad Fitri Mohamad Haris, 40, memberitahu, dia menerima kiriman mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada Azadan yang ingin meminjam wang sebanyak RM2,000.
Katanya, kiriman mesej tersebut kelihatan sangat menyakinkan dan tanpa berfikir panjang, dia terus memindahkan wang seperti diminta.
Saya dapat mesej daripada Azadan menerusi WhatsApp mengatakan ingin meminjam duit kerana gagal membuat transaksi akibat sudah melebihi had.
“Atas alasan tertentu jadi dia ingin meminjam wang sebanyak RM2,000. Memandangkan saya memahami Azadan yang aktif dalam aktiviti pengurusan acara, jadi tanpa berfikir panjang saya berikan wang tersebut,” katanya dalam satu perkongsian video dalam TikTok, semalam.
Kemudian, setelah transaksi pertama selesai, individu terbabit sekali lagi meminta wang RM3,000.
Selepas RM2,000, dia minta untuk pinjam lagi RM3,000. Waktu itu saya mula syak ada yang tidak kena,” katanya.
Musykil dengan keadaan itu, Fitri kemudian bertindak menghubungi Azadan bagi mendapatkan pengesahan. Namun, dia dikejutkan dengan berita Azadan menjadi mangsa penipuan penggodam (scammer).
Difahamkan sejak Maghrib tadi (semalam) telefon Azadan telah digodam.
“Jadi saya nasihatkan kepada rakan-rakan yang menerima kiriman mesej meminjam wang tidak kira daripada sesiapa pun agar lebih berhati-hati.
Insya-Allah saya akan buat laporan polis. Tetapi, saya tidak yakin untuk mendapatkan semula duit itu. Saya mendoakan semoga individu itu terbuka hatinya dan saya hanya bersangka baik mungkin dia memang dalam kesusahan.
“Semoga Allah menggantikan dengan yang lebih baik. Jika bukan dengan wang ringgit, dikurniakan anak yang soleh dan solehah serta isteri yang solehah, insya-Allah,” katanya.
Pada masa sama Fitiri turut mendedahkan individu terbabit dipercayai dikenali sebagai Lugiana Connie Anak.
Dalam perkembangan lain, menerusi perkongsian Azadan dalam Instagram Stories, dia telah membuat laporan mengenai insiden terbabit.
Saya di balai polis sekarang untuk buat laporan bahawa WhatsApp saya telah digodam. Kawan-kawan tolong sampaikan kepada kenalan yang mengenali saya, risau masing-masing kena scam nanti,” katanya.
Bagaimanapun, dia tidak memperincikan mengenai butiran laporan tersebut. – HIBGLAM