SEMPENA ulang tahun perkahwinan, pelakon Dini Schatzmann mengungkap detik bahagia bersama isterinya yang juga pelakon Janna Nick dalam sebuah video ucapan khas yang dimuat naik dalam Instagram, semalam.
Menerusi video berkenaan, Dini atau nama lengkapnya Dini Azan Schatzmann, 30, berkongsi mandi dan solat bersama menjadi pengikat hubungan mereka sepanjang berumah tangga.
Katanya, meskipun masing-masing sibuk dan pulang lewat ke rumah, rutin tersebut tetap cuba dilakukan bersama.
“Banyak hal dalam kehidupan kita dirakam dan dikongsikan, tetapi ada banyak momen yang orang tidak nampak yang kita tak kongsikan.
Rutin kegemaran kita ialah setiap hari siapa yang balik rumah dahulu dia akan tunggu untuk mandi bersama, kemudian kita akan solat.
“Saya akan sikat rambut awak sebelum masuk tidur. Seandainya saya balik lewat sangat atau awak balik lewat sangat, dan rutin itu kita tak buat saya rasa hari saya itu tidak lengkap,” katanya.
Selain itu, pelakon filem Bintang Hatiku itu turut mengatakan kenangan menunaikan umrah di Tanah Suci sebagai lokasi bulan madu merupakan detik terindah yang sukar dilupakan.
Kenangan kegemaran saya ialah pergi bersama menunaikan umrah. Awak berjaya membuatkan perancangan ke sana berjaya.
“Saya berasa pengalaman ke sana itu sangat bermakna dan perkara itu juga terbaik untuk permulaan rumah tangga kita,” katanya.
Dalam pada itu, Dini turut berbangga dengan isteri tersayang yang sering bersikap positif dalam usaha memajukan diri mereka di samping menjalani kehidupan yang lebih baik.
“Awak suka merancang masa depan yang baik dan menjadikan setiap mimpi itu satu kenyataan.
Saya paling suka momen di mana kita selalu berbincang bagaimana kita hendak lakukan yang terbaik pada masa depan. Apa yang kita patut kita cuba.
“Awak nak sambung belajar, saya sangat menyokong dan saya hendak melihat awak sambung pengajian dan saya pun ingin sambung belajar biarpun saya tak sula belajar” ujarnya lagi.
Malah, Dini turut mengatakan Janna telah berjaya mengubah dirinya menjadi seseorang yang lebih baik dalam pelbagai aspek.
“Saya sangat bersyukur apabila awak berjaya mengubah saya menjadi seorang lelaki yang saya tidak pernah terbayangkan sebelum ini.
Saya sangat bersyukur dengan kurniaan Allah dan awak menjadikan saya insan paling bahagia. Saya sentiasa teruja memikirkan tentang masa depan kita. Saya sangat mencintai awak dan awak akan menjadi satu-satunya kawan saya, kawan terbaik saya, isteri saya” ucap Dini.
Sambutan ulang tahun perkahwinan pertama Dini dan Janna diadakan di sebuah hotel di Putrajaya semalam.
Untuk info, pasangan terbabit melangsungkan perkahwinan di sebuah resort di Langkawi pada 10 Jun tahun lalu.
Majlis yang berlangsung secara tertutup itu menyaksikan Janna menerima mas kahwin sebanyak RM2,703 sebagai simbolik tarikh perkenalan mereka 27 Mac 2019. – HIBGLAM