PERNAH melalui pengalaman sama, pelakon Sharnaaz Ahmad mengingatkan pelajar yang mendapat keputusan kurang baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) agar tidak berputus asa meneruskan kehidupan.
Menurut pemilik nama penuh Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 38, meraih keputusan yang teruk bukan kekangan untuk menjadi individu lebih baik dan berjaya.
“Kepada sesiapa yang dapat keputusan teruk, saya juga pernah dapat keputusan kurang baik untuk SPM.
SPM memang penting tapi bukan pengakhiran, sebaliknya permulaan untuk bangkit dan jangan ‘tidur’ terus,” katanya dalam siaran langsung Instagram.
Dalam pada itu, bintang filem Polis Evo itu menasihati pelajar yang tidak bernasib baik dalam pelajaran agar sentiasa rajin berusaha untuk mengubah kehidupan sedia ada.
“Siapa yang dapat keputusan kurang baik, seperti saya dulu, saya tak pandai. Jaga parking pun saya pernah.
Kuatlah berusaha, mula dari bawah pun tak mengapa. Jangan jadi bodoh dan pemalas.
“Paling penting kalau 700A sekali pun, jika anda pemalas, tak guna. Walau dapat 7E sekali pun, kalau usaha cari duit, akan menjadi,” ujarnya.
Semalam, Kementerian Pendidikan mengumumkan Seramai 11,713 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran. – HIBGLAM