PELAKON Puteri Sarah Liyana mengakui tidak pernah menyedari kekuatan diri sehingga diuji dengan pelbagai dugaan hidup, sekali gus membentuk dirinya menjadi wanita lebih kental hari ini.
Ujar Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 41, pengalaman pahit membuka mata bahawa setiap individu memiliki kekuatan luar biasa, cuma belum diuji.
“Dulu saya tidak sedar saya ada kekuatan.
Saya fikir saya lemah dan tidak mampu, tetapi apabila diuji, barulah saya tahu saya sebenarnya boleh.
“Semua ini terjadi kerana kita menolak diri ke tahap maksimum,” katanya dalam Instagram
Menurut pelakon drama Hijrah Jannah itu, tempoh lima tahun penuh cabaran menjadi titik perubahan terbesar dalam hidupnya, apatah lagi apabila perlu bangkit demi anak-anak.
“Saya bertahan selama lima tahun dalam keadaan lemah.
Tetapi selepas tempoh itu, saya bangkit kerana ada dua anak yang memerlukan saya.
“Kekuatan saya adalah anak-anak,” ujarnya.
Tambahnya, tidak ramai memahami betapa beratnya perjalanan seorang ibu yang terpaksa kuat setiap hari walaupun hati sering rapuh.
“Tak semua orang tahu betapa penatnya menjadi kuat setiap hari.
Ada waktu hati terlalu lelah, dunia terasa berat dan air mata jatuh diam-diam tanpa sesiapa nampak.
“Tetapi setiap kali melihat anak-anak, kekuatan itu hadir semula dalam diri,” luahnya.
Paling penting kata Sarah, kasih sayang anak menjadi sumber tenaga luar biasa yang menghidupkan kembali semangat seorang ibu.
“Kekuatan seorang ibu lahir daripada pelukan kecil dan senyuman anak.
Mereka tidak tahu sebenarnya merekalah yang menyelamatkan hati seorang ibu,” tuturnya.
Perkongsian tersebut meraih perhatian netizen dengan ramai tersentuh dan memberi sokongan moral terhadap perjalanan hidupnya.
Untuk rekod, Sarah pernah mendirikan rumah tangga bersama pengarah Syamsul Yusof pada 8 Mac 2014 sebelum bercerai pada Jun 2023.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 9, dan Sumayyah, 6. – HIBGLAM
