SAYA tidak dapat meneruskan program ini kerana mendapat panggilan untuk menunaikan ibadah haji.”
Demikian kata penyanyi Datin Alyah yang menarik diri daripada program nyanyian realiti, The Hardest Singing Show (THSS) bagi menunaikan ibadah haji pada 12 Jun depan.
Alyah atau nama lengkapnya Noor Hasliah Abu Hasan, 43, menyusun 10 jari memohon maaf kepada tenaga kerja program berikutan pengunduran itu.
Saya memohon maaf kepada tenaga kerja produksi dan mereka yang menantikan persembahan saya,” katanya menerusi video ucapan khas pada persembahan minggu kedua rancangan tersebut semalam.
Alyah turut mengharapkan agar peminat dapat mendoakan agar dia mendapat haji yang mabrur.
Saya mengharapkan agar kalian dapat mendoakan kesihatan saya dan mendapat haji yang mabrur nanti.
“Diharapkan juga semoga semua peserta yang terlibat dapat membuat persembahan dengan baik,” katanya.
Alyah sepatutnya menyanyikan lagu I Am The Best nyanyian kumpulan 2NE1 pada minggu kedua The Hardest Singing Show malam tadi.
Selain Alyah, program terbitan Astro itu turut disertai Ayda Jebat, Stacy, Zizi Kirana, Aepul Roza, De Fam, Aishah Retno, Putera Muhammad dan Kaka Azraff. – HIBGLAM