Diet ‘gila’ bintang Korea Selatan

BARU-BARU ini, penyanyi Hyuna meluahkan kekesalan kerana pernah menjalani diet ekstrem dengan hanya mengambil satu nasi kepal (kimbab) setiap hari.

Bagaimanapun, penyanyi wanita itu tidak mendedahkan sebab utama menurunkan berat badan secara drastik sehingga menjejaskan tahap kesihatannya.

Hakikatnya, bukan Hyuna sahaja yang mengikuti rejim diet sebegitu kerana amalan sedemikian sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan selebriti Korea lebih-lebih lagi sebelum menjayakan sesebuah naskhah.

Kali ini, Daebak merangkumkan beberapa selebriti yang berjaya menurunkan berat badan dengan drastik kerana mengamalkan diet ekstrem semata-mata memenuhi komitmen kerja.

Park Min-young

BAGI menjayakan lakonan dalam naskhah Marry My Husband, pelakon park Min-young itu menyahut cabaran menurunkan berat badan bagi menyempurnakan imej sebagai pesakit kronik.

Pelakon berusia 38 tahun itu terpaksa mengurangkan jumlah makanan diambil sehingga berjaya menurunkan berat badan menjadi 37kg.

Bagaimanapun, Min-young menitipkan nasihat buat peminat supaya tidak mengikuti cara dietnya kerana berhadapan banyak risiko seperti pengurangan jisim otot, keguguran rambut dan sembelit.

Situasi tersebut bukan kali pertama pelakon yang juga dikenali sebagai Rachel Park itu menurunkan berat badan demi tuntutan watak kerana sebelum ini pernah melakukan perkara sama bagi drama What’s Wrong With Secretary Kim.

Kim Seung-oh

MENGAMBIL jalan pintas, pelakon Kim Seung-oh memulakan diet ekstrem sehingga berjaya menurunkan sebanyak 16 kilogram (kg) dalam tempoh empat minggu.

Seung-oh menjalani diet demi menjayakan peranan dalam filem Missing You bagi mendapatkan wajah lebih cengkung.

Daripada 72kg, berat pelakon berusia 46 tahun itu menjunam kepada 56kg sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peminat.

Pelakon drama Fight For My Way itu mendedahkan, dia mengekalkan senaman harian selain diet ketat yang tidak membenarkannya makan apa-apa demi tuntutan watak.

Kim Rae-won

DEMI memenuhi permintaan skrip, pelakon sanggup menurunkan berat badan sebanyak 15kg bagi menampakkan karakternya lebih realistik.

usai penggambaran, dia ingin menambah berat kerana terlalu kurus namun sukar direalisasikan meski menjamah makanan empat ke lima kali sehari.

Tidak lama selepas itu, pelakon berusia 43 tahun itu menurunkan 4kg lagi berat badannya bagi memainkan peranan sebagai pesakit tumor dalam siri Punch.

Lee Min-ki

PELAKON Lee Min-ki mengambil tanggungjawab sebagai watak pembunuh menerusi filem Monster yang menuntutnya menurunkan berat badan sebanyak 17kg.

Itu adalah percubaan pertamanya merealisisasikan komitmen ‘gila’ itu.

Malah, diet keterlaluan tersebut menyebabkan aktor drama Behind Your Touch itu berdepan banyak masalah kesihatan.

Bagaimanapun, amalan diet tersebut berjaya membantu lelaki berusia 39 tahun itu menggambarkan dirinya sebagai seorang pembunuh berhati dingin dengan sempurna. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok