FOKUS mencari rezeki selain meletakkan karier seni sebagai prioriti, pelakon Hariz Hamdan memilih untuk tidak menjalinkan hubungan cinta di usia muda.
Pun begitu, Hariz atau nama lengkapnya Muhammad Hariz Muhammad Hamdan, 22, berkata, dirinya akan mempertimbangkan soal hati pada penghujung usia 20-an.
“Tiada (kekasih). Sekarang jadual saya padat dengan kerja, nak tambah beban dan masa untuk bercinta memang tidaklah.
Lagi pun saya masih muda, masa yang saya ada sekarang adalah untuk cari duit dan kembangkan lagi kerjaya seni.
“Bagi saya belum masanya lagi, tapi mungkin umur 27 ke 30 tahun baru saya cari kekasih,” katanya kepada HibGlam.
Disoal sama ada takut bercinta selepas melihat isu rumah tangga dan kisah cinta banyak ‘dilondehkan’ dalam media sosial, pelakon filem Banglo Seksyen 12 itu mengakui sedikit sebanyak kontroversi sebegitu mempengaruhinya.
“Nak cakap takut dengan isu hubungan, buka aib sana-sini, ada la juga rasa gentar tapi bagi saya jangan buat hal, bila bercinta kena sayang sepenuh hati.
Sudah tentu kalau bercinta untuk main-main natijahnya akan berbalik kepada diri sendiri sebab saya percaya kifarah itu wujud.
“Jadi kena fikir dua tiga kali, sekarang zaman canang mencanang, kena pandai bawa diri,” ujarnya ketika ditemui sewaktu program Celebrate Earth Day With Hariz Hamdan, kelmarin.
Paling penting kata Hariz, dia sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan diri selain sedaya upaya mendekatkan diri dengan Allah agar sentiasa dilindungi daripada anasir jahat manusia.
Sejak dari awal karier dalam bidang seni, saya dah letak pemikiran apa pun berlaku semuanya di tangan Tuhan.
“Bukan nak cakap saya baik, walaupun saya rasa bukan insan sempurna tapi setiap hari saya cuba dekatkan diri dengan Tuhan untuk menjadi manusia yang lebih baik,” ujarnya.
Hariz memulakan kerjaya seni sebagai pelakon selepas menyertai program realiti Hero Remaja pada 2020. – HIBGLAM