Bella Astillah, kekasih Aliff Aziz saling ikuti Instagram

TIDAK menyedari kewujudan kekasih gelap suami, pelakon Bella Astillah dilihat mengikuti Instagram wanita yang mengaku menjalin hubungan dengan Aliff Aziz, Sarah Yasmine.

Bahkan, wanita dipercayai ibu tunggal dua anak itu turut menjadi pengikut laman sosial Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 30.

Sebelum ini, ibu kepada pelakon dan penyanyi itu, Siti Zarina Astillah mendakwa anaknya tidak tahu menahu kewujudan wanita terbabit termasuk pendedahan yang dilakukannya.

Malah, semakan HibGlam mendapati akaun Instagram Sarah meraih perhatian ramai sehingga jumlah pengikutnya bertambah sehingga 109,000 selepas pengakuannya tular sejak semalam.

Dalam pendedahan mengejutkan itu, Sarah mendakwa sudah menjalin hubungan cinta dengan Aliff bermula Januari tahun ini.

Pada masa sama, dia yang masih meneruskan hubungan dengan suami Bella itu turut mempunyai bukti bagi mengesahkan Aliff juga bercinta dengan pelakon Ruhainies.

Kata Sarah, dia berani melakukan pendedahan kepada umum selepas melihat kekasihnya teruk dikecam susulan kontroversi ditangkap khalwat pada Mac lalu.

Wanita itu juga mendakwa Ruhainies telah menghasut aktor berkenaan untuk menjatuhkan isteri sendiri dan menjadi dalang mengatur rancangan untuk melihat Bella ‘tersungkur’.

Sekali gus, kontroversi kecurangan penyanyi Sayang Sayang itu sudah memasuki fasa baharu, namun hingga kini Aliff mahupun Ruhainies belum mengeluarkan sebarang kenyataan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok