Maaf, saya tak pakai kabel.”
Tegas penyanyi Aisha Retno yang menafikan dakwaan menggunakan ‘kabel’ ibunya untuk beraksi buat julung kali di Festival Java Jazz (JJF).
Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulizam berkata, ibunya yang popular sebagai penyanyi Indonesia era 80-an itu tiada kena mengena dengan tawaran diajukan penganjur.
Sebaliknya, akui Aisha, namanya disenarai pihak sekretariat JJF berikutan populariti lagu berbahasa Inggeris berjudul W.H.U.T (Wanna Hold You Tight) yang dilancarkan pada Disember 2021.
“Ya, ibu saya Jean Retno Aryani adalah penyanyi Indonesia era 1980-an, namun itu tidak bermakna saya menggunakan orang dalam atau kabel agar dipilih penganjur.
Walaupun ada darah Indonesia, memang bukan mudah untuk lebarkan sayap ke sana, apatah lagi beraksi di fiesta muzik berprestij itu. Tapi maaf, saya tidak pakai kabel.
“Saya percaya penganjur tawarkan peluang tampil dalam festival mega itu atas bakat dan pencapaian saya dalam bidang muzik terutama menerusi lagu W.H.U.T yang pernah tular,” katanya kepada HibGlam.
Menurutnya lagi, kejayaan lagu Sutera yang merangkul naib juara Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) Mac lalu juga tidak dinafikan memberi nilai tambah terhadap portfolio kerjaya seninya.
Sebenarnya saya diajukan tawaran tampil di pentas Festival Java Jazz beberapa hari selepas AJL38 dan difahamkan pemilihan dilakukan turut melihat pencapaian penyanyi.
“Hanya syukur yang mampu saya lafazkan, apatah lagi ini peluang membawa nama negara, tidak mungkin saya sia-siakan,” ujarnya.
Sebagai persediaan menghadapi fiesta muzik yang dijadualkan berlangsung pada 24 hingga 25 Mei ini, dia dibantu pasukan termasuk guru vokal serta kareografer.
“Setakat ini latihan yang dimulakan berjalan lancar, bahkan musim raya juga saya jaga pengambilan makanan agar tidak berlebihan bagi menjaga vokal.
“Mengenai pemilihan lagu pula, ada beberapa sudah berada dalam senarai, kita tengok nanti mana paling sesuai,” katanya.
Fiesta muzik ke-19 itu dijadualkan berlangsung di Jakarta International Expo Kemayoran (JIEXpo) selama dua hari bermula 24 Mei depan.
Antara penghibur tempatan yang pernah muncul di JJF adalah Datuk Sheila Majid, Atilia Haron dan Elvira Arul. – HIBGLAM