PENYANYI Ernie Zakri mengakui sukar untuk seorang wanita yang pernah melalui fasa tidak berhijab untuk kekal istiqamah, lebih-lebih lagi apabila mengenangkan pernah tampil dengan pelbagai gaya rambut yang cantik sewaktu membuat persembahan pentas.
Ernie atau nama lengkapnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 31, ketika ditemui berkata, dia sendiri suka melihat koleksi foto lamanya ketika belum berhijab dan mengenang semula fesyen rambut yang pernah digayakan sebelum berhijab.
Saya akui susah sebenarnya dugaan untuk wanita berhijab ini, lebih-lebih lagi apabila kita teringat zaman sewaktu sebelum berhijab. Kita rasa cantik waktu itu. Ada gaya rambut yang cantik,” katanya kepada HibGlam.
Bagaimanapun, isteri kepada penyanyi Syamel itu berkata, dia selesa dengan imejnya kini dan tidak pernah berbolak-balik sehingga terdetik di hatinya untuk kembali tidak berhijab.
“Nak kata hati berbolak-balik? Tak pernah. Cuma saya hargai apa yang pernah saya lalui sebelum ini. Sebenarnya saya sudah puas menggayakan pelbagai fesyen rambut.
Sejak saya menyanyi pada usia 17 tahun sehinggalah berhijab semasa berusia sekitar 29 tahun. Saya dah buat macam-macam gaya rambut ketika itu.
“Namun, sebagai manusia biasa tipulah kalau saya tidak rasa takut sebab hati manusia berubah-ubah. Insya-Allah, saya sentiasa mendoakan hati supaya selalu istiqamah,” tegasnya.
Mengimbas kembali momen hatinya ‘dijentik’ untuk berhijab, Ernie yang ditemui semasa majlis pelancaran tudung koleksi Ernie Zakri X Ayuwan, di pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur baru-baru ini memberitahu keputusannya untuk berhijab adalah kerana takut jika meninggal dunia akibat dijangkiti wabak Covid-19.
“Pada 2020 negara dilanda pandemik Covid-19 dan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Itulah momen hati saya terjentik untuk bertaubat dan menutup aurat kerana takut, bila-bila masa mungkin saya akan dijemput kerana Covid-19.
Memang rasa takut sangat ketika itu. Saya pakai tudung kerana terfikir, kalau tiba-tiba meninggal dunia akibat virus Covid-19, apa yang saya tinggalkan untuk diri sendiri?
“Adakah sekadar karier? Itu pun kalau orang ingat. Jadi saya kena ada juga ‘bekalan’ untuk diri sendiri,” dedahnya. – HIBGLAM