PENGARAH, Amen Khalid bangga dapat menghasilkan 19 Puasa: Playboys Of Plestik Hitam yang merupakan francais popular ditinggalkan oleh bapanya iaitu sutradara terkenal, Allahyarham Mamat Khalid.
Menurut Amen, dia mengambil masa selama dua tahun untuk mengumpul semangat sebelum memutuskan kembali meneruskan karya yang ditunggu-tunggu ramai tersebut.
“Alhamdulillah, ramai beri saya semangat untuk meneruskan karya popular ini. Selepas arwah meninggal, saya mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk kumpul kembali semangat.
Keluarga dan kawan-kawan arwah pun banyak bagi saya sokongan,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Dalam masa sama, dia mengakui perasaan sebak adakala menerpa dirinya apabila duduk di kerusi pengarah yang ditinggalkan bapanya itu.
Memang ada rasa sayu sepanjang mengarahkan drama ini ditambah pula ini ‘taman permainan’ saya kerana sudah biasa berada di set bersama arwah ayah sejak kecil.
“Ada juga momen saya menitiskan air mata tapi bukan depan orang ramai,” kongsinya ringkas.
Sementara itu, dia juga berterima kasih kepada pengarah, Mohd. Latiff Zami atau lebih dikenali sebagai Yoep Hitler kerana banyak membantunya memberikan idea bagi mengarahkan naskhah tersebut.
Saya mencari idea dengan Yoep dan syukur dia sudi bantu saya. Pada awalnya, saya merasakan tanggungjawab ini agak berat tetapi lama-kelamaan jadi lebih mudah kerana ramai yang mula beri kepercayaan.
“Perlahan-lahan saya kutip semangat dan keyakinan diri untuk mengarahkan karya ini,” ujarnya.
Dia yang juga pengarah naskhah Kampung Pisang Berbuah Dua Kali itu turut memuji barisan pelakon kerana memberikan kerjasama yang baik sepanjang menjayakan filem tersebut.
Semua pelakon beri kerjasama yang baik dan melayan saya seperti mana mereka bersama ayah dahulu,” jelasnya,
Filem 19 Puasa: Playboys Of Plestik Hitam sudah menemui peminat menerusi saluran Astro First pada 28 Februari lalu.
Antara barisan pelakon yang membintangi filem ini adalah Bell Ngasri, Aziz M Osman, Joey Daud, Imuda, Dewa Sharwani NS, TJ Isa dan Rashid Mohd.
Filem ini masih mengetengahkan mesej sama seperti naskhah terdahulu iaitu kisah sekumpulan penduduk kampung termasuk watak Barkoba lakonan Bell yang tidak berpuasa pada bulan Ramadan.
Mengimbau semula, Mamat Khalid meninggal dunia pada usia 58 tahun disebabkan serangan jantung di Hospital Slim River, Perak pukul 12.30 pagi pada 24 Oktober 2021.
Allahyarham dilaporkan rebah di restoran miliknya, Sarang Art Hub di Tangjung Malim dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Paloh, Ipoh pukul 2.25 petang. – HIBGLAM