TEKA-TEKI siapa gerangan pemilik takhta kerajaan Melaka akhirnya terjawab apabila nama pelakon Luqman Hafidz diumumkan sebagai Sultan Melaka dalam pementasan Puteri Gunung Ledang (PGL) The Musical yang dijadualkan berlangsung tahun ini.
Pemilik nama lengkap Muhammad Luqman Hafidz Mohd. Fauzi, 33, sekali lagi diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai pemerintah selepas kejayaannya membawakan watak yang sama dalam Teater Muzikal Puteri Hang Li Po di Encore Melaka, Oktober tahun lalu.
“Ada watak yang menuntut lebih daripada sekadar kuasa. Ia menuntut keberadaan, ketenangan, karisma dan kemampuan untuk memikul seluruh beban emosi sesebuah kerajaan di atas bahu sendiri.
“Hari ini, kami memperkenalkan Sultan Melaka kami. Seorang pemerintah yang terikat dengan daulat, amanah dan harapan nusa.
“Namun di sebalik kemegahan singgahsana, bersemayam seorang lelaki yang sedang bergelut dengan cinta, kehilangan dan takdir.
“Ini menandakan kembalinya wajah yang cukup akrab dengan keluarga Enfiniti, melangkah kali ini ke dalam dunia yang jauh lebih agung, kompleks dan penuh emosi,” katanya dalam Instagram.
Watak Sultan Melaka yang merujuk kepada Sultan Mahmud Shah digambarkan sebagai seorang pemerintah berkuasa namun berada dalam keadaan terdesak demi mendapatkan cinta Gusti Puteri.
Dia juga digambarkan sebagai figura yang sanggup menerima syarat-syarat mustahil termasuk darah putera sendiri sehingga menunjukkan sisi gelap kekuasaan yang dimilikinya apabila tuntutan tersebut gagal dipenuhi.
Sebelum ini, watak ikonik berkenaan pernah dipopularkan pelakon Adlin Aman Ramlie dalam filem Puteri Gunung Ledang pada 2004 serta pementasan teater muzikal.
Selepas lebih dua dekad mencipta fenomena, Penerbit Eksekutif dan Pengarah PGLM, Puan Sri Tiara Jacquelina kembali menghidupkan legenda ikonik berkenaan dengan membuka sesi uji bakat rasmi bagi mencari barisan pelakon generasi baharu.
Watak utama seperti Puteri Gunung Ledang, Hang Tuah, Sultan, Adipati dan Bayan antara peranan yang menanti untuk dihidupkan semula dengan nafas baharu. – HIBGLAM
