Liza Hanim laris, bakal beraksi di Singapura

BUKAN mudah untuk penyanyi Liza Hanim terus bertahan dan kekal utuh sehingga ke hari ini selepas hampir tiga dekad bergelar anak seni.

Pernah berehat beberapa tahun sebelum membuat kemunculan semua menerusi program Gegar Vaganza (GV) musim keempat pada 2017, Liza sama sekali tidak menyangka karier seninya mampu pergi sejauh ini.

Lebih mengejutkan, selepas membuktikan kehebatannya menerusi Liza Hanim 27 Years Journey In Concert di Zepp Kuala Lumpur tempoh hari, penyanyi yang popular dengan lagu Gelisah Mimpi itu terus dihujani tawaran konsert di luar negara.

Selepas di Kuala Lumpur, jika tiada aral kata pemilik nama sebenar, Haliza Hanim Abdul Halim, 45, itu bakal menyeberangi Tambak Johor menghiburkan peminat di Singapura pula.

“Seronok dapat buat konsert, rasa tidak puas dan ingin buat lagi.

“Alhamdulillah, terdapat banyak permintaan untuk anjurkan konsert lagi terutama di Singapura.

“Buat masa ini semuanya masih dalam peringkat perbincangan dan diharap ‘menjadi’ kerana ketika konsert di Kuala Lumpur ramai peminat Singapura tidak dapat hadir.

“Kebanyakan peminat Singapura mahu beli tiket paling mahal, tetapi slot itulah yang habis paling awal.

“Jadi, bagi mengubat kekecewaan peminat di sana, saya tidak sabar untuk anjurkan konsert di Singapura. Jika semua berjalan lancar, saya pasti akan umumkan tarikh. Doakan,” kata Liza Hanim.

LIZA beranggapan, dia kini dalam fasa tidak lagi mengejar populariti sebaliknya mahu menyumbang sedikit bakti buat industri muzik tanah air.

Belajar daripada kesilapan penganjuran konsert pertamanya tempoh hari, banyak perkara yang mahu diperbaiki Liza untuk konsert seterusnya.

Bukan sahaja soal pemilihan lagu pada hari konsert, tetapi juga penjagaan kesihatan yang optimum menjelang hari konsert.

“Saya banyak belajar daripada konsert pertama. Antaranya saya perlu kurangkan lagu, jangan tamak hendak menyanyi semua lagu (ketawa).

“Maksimum untuk sebuah konsert tiga jam ada 22 buah lagu tetapi pada konsert di Kuala Lumpur saya menyanyi sampai 34 buah lagu.

“Jadi, konsert di Singapura akan ada perubahan daripada jumlah lagu dan saya akan selitkan juga single terbaharu yang berjudul Takdir Itu Milik Aku,” kata Liza lagi.

Kesihatan

Serik sakit yang berpanjangan menjelang konsert tempoh hari membuatkan ibu kepada lima orang anak itu mengambil pendekatan untuk lebih berhati-hati dalam penjagaan kesihatan diri.

Kini, ke mana sahaja Liza pergi terutama di lokasi orang ramai, dia akan memakai pelitup muka.

“Tidak mahu sakit sebelum konsert, rasa tidak puas menyanyi kerana paru-paru saya tidak berada di tahap terbaik.

“Jadi, lagu nada tinggi saya tidak menyanyi secara maksimum. Bagi mengelak perkara sama daripada berulang, saya memang memakai pelitup muka.

“Bukan ketika sakit baru hendak pakai tetapi ketika sihat supaya kita tidak diserang sakit. Sekarang ada pelbagai virus, saya memang berjaga-jaga,” kongsi Liza yang ditemui pada majlis apresiasi baru-baru ini.

Tambah Liza, meskipun tidak mempunyai sebarang penyakit asma atau berkaitan pernafasan, dia kini telah dibekalkan dengan ubat-ubatan untuk menguatkan paru-parunya.

“Saya pernah dijangkiti Covid-19 sebanyak tiga kali dan semasa konsert di Kuala Lumpur, saya sakit dada dan risau tidak boleh menyanyi.

“Alhamdulillah apabila naik pentas semuanya okey cuma orang tidak tahu apa yang berlaku di belakang pentas.

“Saya sangat takut kecewakan peminat jika menyanyi tidak sampai nada sepatutnya. Saya tidak mahu perkara itu berlaku lagi, jadi sekarang saya menjaga diri dengan mengambil vitamin dan merujuk doktor,” kata Liza.

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok