Saya masih pemegang pasport Malaysia – Chew Kin Wah

PELAKON Chew Kin Wah menafikan dakwaan ramai pihak bahawa dia kini sudah menetap di negara seberang, Indonesia.

Sebaliknya, atas tuntutan kerjaya sebagai seorang aktor, Chew, 59, dia terpaksa berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Jakarta.

Chew memaklumkan, dia sudah beberapa kali gagal meraih peluang berlakon dengan produksi tempatan susulan timbul khabar angin tidak berasas bahawa dia sudah berhijrah ke negara jiran.

“Ada pengarah mahu ambil saya berlakon tetapi pihak produksi enggan menghubungi kerana mendakwa saya sudah menetap di Jakarta.

“Realitinya, saya memang berada di Kuala Lumpur dan masih sebagai pemegang pasport Malaysia.

“Tawaran daripada produksi Indonesia tidaklah sebanyak yang didakwa sebab banyak dokumen perlu diuruskan, contohnya jika saya ke sana tanpa permit bekerja, saya pasti akan ditahan pihak berkuasa,” katanya yang ditemui HibGlam usai tayangan perdana filem terbaharu lakonannya berjudul Rain Town di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, pelakon drama Puteri Qaseh itu turut menyangkal dakwaan bahawa dirinya cerewet dalam memilih tawaran lakonan.

Realitinya, dia hanya menitikberatkan isu tempoh bekerja selain bayaran yang setimpal dengan usia dan pengalamannya sebagai pelakon.

“Soal harga perlu ada ‘demand’ sebab industri kita bukan ada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau insurans.

“Selain isu harga, saya memang tegaskan pada pihak produksi bahawa tempoh masa bekerja tidak lebih 12 jam sebab kalau terlalu lama dan badan penat, risau ada hal lain berlaku. Pasti akan menyusahkan orang lain,” katanya lagi.

Selain Chew, Rain Town arahan Tunku Mona Riza turut dibintangi Susan Lankester, Fabian Loo, Wilson Lee dan Pauline Tan.

Rain Town yang mengetengahkan dialek kantonis bakal menemui peminat filem tanah air di pawagam seluruh negara pada 8 Februari depan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok