TAHUN 2024 mencetuskan keterujaan berganda buat selebriti serba boleh, Naim Daniel untuk terus berkarya dan mencipta kelainan agar kanvas seninya lebih bermakna.
Akui penyanyi, komposer dan pelakon itu, tahun ini dia bakal ‘menggila’ memandangkan jadual kerjayanya telah pun terisi dari awal Januari hingga penghujung Disember bahkan dia bakal menembusi pasaran muzik seberang.
Selain bakal tampil dengan lima buah single baharu yang telah siap dirakamkan di Jakarta, keterujaan Naim makin melonjak apabila tahun ini juga, dia bakal hadir dengan sebuah lagu duet istimewa bersama Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah.
“Tahun ini dianggap sebagai tahun yang agak mencabar kerana saya bakal keluarkan beberapa produk baharu.
Paling membuatkan saya teruja, apabila saya bakal hadir bersama single duet dengan penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah.
“Lagu ini juga merupakan karya yang memperkenalkan semula beliau dalam industri selepas sekian lama tidak hadir dengan lagu baharu genre balada,” kata Naim.
Ujar pemilik nama lengkap Muhammad Naim Daniel Baharin itu, dia sangat bersyukur apabila hasrat duet disambut baik penyanyi berusia 65 tahun itu.
Dalam masa sama, Naim sebenarnya gusar dan mengibaratkan pelantun lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu tidak ubah seperti ikan keli.
Saya sifatkan Datuk Jamal sebagai ikan keli sebab memang susah nak dapat. Bukan kerana dia memilih atau cerewet, tetapi sebab jadualnya terlalu sibuk.
“Saya sendiri yang menghantar mesej melalui Instagram kepada beliau dan luahkan hasrat untuk berduet dengannya.
Alhamdulillah, perjalanannya sangat mudah. Malah beliau sendiri terbuka dengan apa sahaja cadangan saya dan ikut sahaja.
“Saya yakin, ramai yang akan merindui suara beliau untuk menyanyikan lagu berentak balada. Insya-Allah, lagu ini akan dikeluarkan selepas Aidilfitri nanti,” ujarnya.
Selain keterujaan Naim tampil duet bersama Raja Pop, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) menerusi lagu Sumpah itu juga bakal melebarkan sayapnya ke negara seberang apabila bakal tampil dengan projek istimewa bersama pemuzik di sana.
Kata Naim, terdapat lima buah lagu telah pun siap dirakam di Indonesia dan antara judulnya bakal menampilkan duet bersama seorang penyanyi wanita.
“Selain projek bersama Datuk Jamal, saya juga bakal tampil dengan lima buah lagu baharu yang dirakamkan di Jakarta, Indonesia.
“Projek ini adalah kerjasama antara saya dengan Sony Music Indonesia. Salah satu yang bakal dikeluarkan nanti merupakan sebuah lagu duet bersama seorang penyanyi wanita seberang.
“Ini merupakan cara untuk saya menembusi pasaran muzik di sana. Alhamdulillah, saya dihadirkan dengan insan-insan hebat yang banyak membantu melancarkan projek di Indonesia.
“Sudah tentu saya sangat teruja dan tidak sabar untuk berkongsi bersama peminat,” katanya.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.-HIBGLAM