Bintang K-Pop mahir lebih daripada 1 bahasa

BARU-BARU ini, ahli IVE iaitu Jang Won-young menunjukkan rakaman eksklusif belakang tabir latihan sebagai hos acara 2023 Asia Artist Awards (AAA) dan anugerah Gayo Daejejeon.

Menariknya, menerusi video yang dimuat naik dalam YouTube, penyanyi berusia 20 tahun itu mendedahkan dia perlu bertutur dalam tiga bahasa iaitu Korea, Inggeris dan Jepun.

Ini kerana, dia telah diamanahkan untuk mengendalikan acara besar yang menuntut dirinya agar menggunakan pelbagai bahasa untuk tujuan berkomunikasi.

Perkongsian tersebut secara tidak langsung menunjukkan dedikasi ­­Won-young terhadap amanah yang digalasnya.

Selain Won-young, ramai lagi selebriti Korea Selatan boleh bertutur dalam pelbagai bahasa sekali gus menjadi nilai tambah sebagai idola ramai.

  • Jackson GOT7

SELAIN Won-young, penyanyi Jackson juga tidak kurang hebatnya apabila mampu menguasai pelbagai bahasa termasuk Kantonis, Mandarin, Korea, Inggeris dan Perancis.

Perkara tersebut didedahkan penyanyi kelahiran China itu dalam program GOT2Day With Jinyoung.

Menerusi rancangan tersebut, Jackson turut berkongsi beberapa petua pembelajaran bahasa yang mudah difahami.

Meskipun tidak fasih dalam kesemua bahasa, Jinyoung selaku hos kagum dengan kebolehan jejaka berusia 30 tahun itu.

  • YangYang

BUKAN sekadar hebat di atas pentas, penyanyi YangYang juga boleh menguasai bahasa asing.

Antara bahasa yang dikuasai YangYang atau nama lengkapnya Liu YangYang adalah Jerman, Inggeris, Korea dan Mandarin.

Malah, jejaka kelahiran Taiwan itu tidak kekok berbual dalam bahasa Sepanyol meski tidak begitu fasih.

Kebolehannya berbahasa Jerman pula kerana pernah menetap di negara tersebut dan dalam masa sama turut mempelajari bahasa Inggeris serta Sepanyol sepanjang berada di sana.

  • CL

PENUH dengan karisma, bekas ahli kumpulan 2Ne1 iaitu CL fasih berkomunikasi dalam bahasa Perancis, Jepun, Inggeris dan Korea.

Ini kerana, CL pernah bermastautin di Jepun, Perancis dan Korea.

Ketika kecil pula, CL atau nama sebenarnya, Lee Chae-rin bersekolah di sekolah antarabangsa, jadi tidak hairanlah mengapa dia mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

  • Lisa Blackpink

DILABEL sebagai pakar bahasa, penyanyi Lisa menguasai lima bahasa iaitu Thai, Korea, Inggeris, Jepun dan Mandarin.

Sebagai anak jati Thailand, sudah semestinya ahli kumpulan Blackpink itu fasih berbahasa ibunda, bahkan dia juga mahir berbahasa Korea sejak bermastautin di negara itu pada 2011.

Selain bertutur dalam bahasa Thai dengan keluarganya, pemilik nama asal Pranpriya Manobal itu turut menggunakan bahasa Inggeris untuk berbual dengan bapa tirinya.

Bagi bahasa Jepun dan Mandarin pula, walaupun tidak fasih tetapi sebutan Lisa sangat mengagumkan sebagai seorang yang bukan dari kedua-dua negara terbabit.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok