Ibu Khai Bahar meninggal dunia dalam tidur

IBU kepada penyanyi Khai Bahar, Rosnah Muhammad menghembuskan nafas terakhir dalam tidur pada usia 62 tahun di Kangar, Perlis pukul 10.40 malam tadi.

Khabar duka itu dimaklumkan pengurus penyanyi terbabit, Mohammed Rizal Mohammed Yasin menerusi satu perkongsian dalam Instagram.

“Salam semua, saya pengurus (Jai) yang mewakili pihak Khai Bahar ingin memaklumkan Mak Ros (ibu Khai Bahar) telah meninggal dunia sebentar tadi di Perlis.

“Proses solat jenazah dan pengebumian akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Semoga roh arwah dicucuri rahmat, Al-Fatihah,” tulisnya.

Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 30, dilihat memuat naik rakaman di media sosial yang menunjukkannya dalam perjalanan pulang ke kampung.

Penyanyi Luluh yang difahamkan sedang bercuti di sebuah pulau menaiki bot keluar dari pusat peranginan itu.

Khai menerusi rakaman itu menangis selain meninggalkan kapsyen ‘mak’ pada video berkenaan.

Dia sebelum ini memaklumkan kesihatan ibunya merosot akibat penyakit buah pinggang, masalah jantung dan paru-paru.

Allahyarham Rosnah yang meraikan ulang tahun kelahiran ke-62 pada 25 Disember lalu, dilapor menghidap pelbagai penyakit seperti buah pinggang, jantung, paru-paru dan hati.

Arwah mula menjalani rawatan dialisis sejak awal tahun lalu, pernah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas sesak nafas.

Khai juga pernah memaklumkan ibunya mengalami masalah daya ingatan sehingga tidak kenal diri sendiri setiap kali selesai menjalani rawatan dialisis.

Sejak setahun lalu penyanyi yang juga pelakon itu kerap pulang ke kampung bergilir dengan adik-beradik laim menjaga ibunya.

Sementara itu, adik kepada Khai yang dikenali sebagai Syakira Baharuddin berkata ibu mereka meninggal dunia dalam tidur.

Difahamkan sembahyang jenazah akan disempurnakan di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail Kangar usai solat zuhur disusuli pengebumian di Tanah Perkuburan Tok Paduka.- HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok