#RoadToBertiga adalah doa – Izzue Islam

TIDAK mahu meninggalkan pelbagai spekulasi berkaitan tanda pagar ‘Road To Bertiga’, penyanyi Izzue Islam akui kata-kata tersebut dilontarkan sebagai satu doa.

Setiap tahun Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 33, tidak henti-henti berdoa mengenai urusan cahaya mata selepas sedekad berkahwin dengan pengurusnya, Awin Nurin.

“Tanda pagar itu hanyalah satu doa sempena tahun baharu. Sekiranya Tuhan permudahkan, kami terima dengan hati terbuka.

“Sama sahaja doa kami saban tahun, memang akan terselit harapan untuk Tuhan memudahkan urusan memiliki cahaya mata.

“Namun, kami hanya mampu berusaha dan Dia juga sebaik-baik perancangkan,” katanya kepada HibGlam.

Ditebak mengenai melakukan rawatan persenyawaan in-vitro (IVF), bekas anggota kumpulan Forteen itu tidak menolak untuk menjalani proses terbabit selaras dengan kesesuaian dengan jadual kariernya.

“Kalau bertanya tentang rawatan IVF, kami tidak menolak dan bersedia sahaja.

“Namun, bergantung juga kepada jadual dan komitmen kerjaya yang telah dipersetujui awal,” ujar yang juga seorang pelakon.

Sementara itu, pengacara itu akui sebak menerima komen-komen positif peminat yang juga tidak putus-putus mendoakan yang terbaik buat keluarga kecilnya.

“Bila baca komen, sebak rasanya. Ramai yang mengaminkan doa kami. Tidak hanya berkaitan zuriat, kami juga mendoakan agar tahun baharu ini membawa lebih berkat dan rahmat dalam setiap apa yang dilakukan.

“Dalam masa sama, kami juga mendoakan perkara yang baik kepada mereka yang sama-sama dalam penantian untuk mendapatkan cahaya mata dan rezeki-rezeki lain.

“Semoga Allah makbulkan doa kita,” ujarnya.

Semalam, Izzue memuat naik video meluangkan masa bersama isteri dengan kapsyen ucapan tahun baru berserta tanda pagar Road To Bertiga yang meninggalkan tanda tanya buat peminat.

Ini bukan kali pertama Izzue diasak soalan berhubung zuriat setelah bernikah dengan Awin pada Jun 2013.

Sebelum ini, pasangan itu didakwa mengambil anak angkat oleh sebuah akaun dalam aplikasi TikTok yang menggunakan nama isterinya, Awin Nurin. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok