TIRAI tahun 2023 sudah dilabuhkan, sekali gus menutup cerita penuh tawa bersulam episod duka menghiasi radar berita industri hiburan tanah air.
Ketika utuhnya gerombolan selebriti lama mencari strategi kerelevanan, tidak kurang juga lambakan artis baharu yang tumbuh bak cendawan tampil ‘menjual’ diri mempertaruhkan bakat terpendam.
Sisipan HibGlam hari ini menggabungkan dua bintang yang sedang ingin mengukir nama dalam industri seni, Nadeera Zaini dan Hariz Hamdan.
Dilihat hadir mempamerkan kesungguhan dalam membina karier, selayaknya Nadeera dan Hariz diramalkan bakal meledakkan pencapaian indah 2024 masing-masing.
Nadeera kian meniti di bibir ramai, terutama selepas menggenggam gelaran juara pada program realiti Big Stage musim kelima.
Kerjaya penyanyi bertubuh genit tahun lalu boleh dikatakan agak ‘kencang’ berbanding fasa sebelum ini apabila dia berjaya melancarkan dua single selepas program berkenaan.
Momen manis bagi Nadeera juga itu apabila duetnya bersama penyanyi Jaclyn Victor pada konsert All Stars Gegar Vaganza meraih perhatian ramai termasuk juri, Hetty Koes Endang.
Disuakan pujian melambung, pemilik nama lengkap Farah Nadeera Zaini itu bagai dibuka mata seterusnya berazam meluncurkan mini album pada tahun hadapan.
“Buat masa sekarang memang tidak akan keluarkan album tetapi saya tengah usaha melancarkan album mini atau extended play (EP)
“Mungkin akan ada lima lagu dalam satu EP termasuk single Emas yang merupakan lagu pertama saya,” katanya membuka bicara.
Impian tercapai
Bercerita lanjut, anak kelahiran Mersing, Johor itu bersyukur, penat lelahnya terbayar apabila orang ramai dapat menyedari bakat yang ada pada dirinya sejak menapak dalam industri nyanyian pada 2012.
“Alhamdulillah, bersyukur sebab impian sudah lama. Dari dahulu sampai sekarang nak orang kenal memang susah.
“Jadi, sekarang pergi mana-mana orang mengenali dan sokong karya saya walaupun saya masih mencari-cari nama dan bahan untuk dikeluarkan pada tahun hadapan.
“Lagu baharu yang dilancarkan pun mendapat respons positif daripada peminat setia,” jelasnya.
Selain impian dikenali tercapai, Nadeera juga berhasrat bekerja bersama orang ternama seperti beberapa penyanyi legenda dalam kariernya.
“Saya teringin sebenarnya mahu berkolaborasi dengan komposer ternama seperti Datuk M. Nasir atau Aubrey Suwito dan komposer luar negara seperti Ahmad Dhani.
“Namun, saya terbuka untuk bekerjasama dengan nama-nama yang belum dikenali. Itu pun okey sahaja,” tutur pelantun lagu Emas seraya berharap dapat mengembangkan karier di pentas antarabangsa.
Menoleh ke arah perjalanan pelakon muda berbakat besar, Hariz Hamdan, jejaka tinggi lampai itu tidak kurang hebatnya sepanjang tahun 2023.
Dia berjaya memukau penonton dengan kualiti lakonan setara pelakon senior, terutama dalam drama fenomena Andai Itu Takdirnya.
Tuah tahun 2024
Terus mendakap tuah, aktor tampan berusia 21 tahun itu langsung meledak apabila ditawarkan pelbagai naskhah membuatkan jadual kerja 2024 terisi penuh dengan projek filem dan deretan drama.
Bukan itu sahaja, pemilik nama penuh Muhammad Hariz Muhammad Hamdan menzahirkan rasa syukur apabila bakatnya semakin diperakui, sekali gus meraih kepercayaan ramai pengarah untuk bergandingan dengan pelakon papan atas.
“Saya bersyukur karier semakin menjadi dan ditawarkan banyak naskhah. Ada dua filem akan keluar pada 2024, memang rezeki saya apatah lagi digandingkan barisan pelakon senior yang hebat.
“Naskhah pertama ialah Banglo Seksyen 12 arahan pelakon Intan Ladyana, manakala filem kedua pula berjudul Sahak Gangster arahan sutradara hebat Ahmad Idham.
“Dalam kedua-dua filem berkenaan, saya dapat watak yang diimpikan, memang teruja.
“Satu lagi impian saya tercapai apabila dilamar bergandingan dengan Datuk Rosyam Nor untuk drama terbaharu Xchange terbitan Astro Originals, itu genre aksi dan disebabkan itu saya bina badan selain masuk kelas berlakon,” katanya komited.
Memanfaatkan setiap peluang, jejaka berkulit sawo matang itu enggan sekadar berpeluk tubuh, sebaliknya berusaha memperbaiki mutu lakonan agar tidak dilabel pelakon kayu seperti dihadapi kebanyakan pendatang baharu.
“Saya memang akan beri komitmen 100 peratus, macam saya berlakon dengan aktor berpengalaman seperti Rosyam,” tutur Hariz.
Kontroversi murahan
Bersih tanpa kontroversi murahan, bekas peserta Hero Remaja itu mengakui mempunyai pendirian selain mahu nama dikenali bersandarkan bakat dan kualiti.
“Saya sudah tetapkan niat saya ketika mula masuk dalam industri, mahu kehadapan dengan bakat dan bukannya publisiti murahan. Saya tidak akan gadaikan prinsip saya hanya kerana ingin dikenali. Pendirian tersebut saya akan pegang sampai bila-bila.
“Saya memang memilih begini sebab pada akhirnya penonton mampu menilai mana kaca mana permata, bagi saya perhatian itu memang diperlukan tetapi jangan sampai kebulur, tidak sihat untuk jangka masa panjang dalam karier,” ujarnya panjang lebar.
Paling penting, pelakon filem Jemputan Ke Neraka itu, percaya usaha keras sepanjang tiga tahun bergelar anak seni akan menjadi asbab mendorong lebih banyak pencapaian sepanjang 2024 kelak,
“Tipulah kalau kata saya tidak pasang niat untuk menggenggam anugerah tetapi saya sedar saya masih hijau dalam industri seni. Tetapi mahu pegang perlukan usaha keras. Untuk itu saya akan pulun habis-habisan segenap peluang yang ditawarkan dan melakukan semuanya sehabis baik,” ujarnya menutup bicara. – HIBGLAM