Nadeera buru magis selepas ‘Bukan Lagi Kita’

MELEDAK menerusi lagu Bukan Lagi Kita, nama Nadeera terus terpahat sebagai antara suara wanita paling mencuri perhatian dalam industri muzik tanah air. 

Aura vokal penuh emosi, ditambah jiwa penghayatan mendalam, menjadikan setiap bait nyanyian seakan meresap terus ke sanubari pendengar.

Setiap kemunculan di pentas disulam dengan disiplin dan karisma tersendiri, namun di sebalik kejayaan tersebut, perjalanan seni tetap menuntut kesabaran dan ketelitian, terutama dalam menghasilkan karya susulan agar tidak sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’.

Bagaimanapun, selepas dua tahun berlalu, bayangan magis Bukan Lagi Kita masih kuat menghantui peminat. 

Harapan demi harapan dilontarkan, menagih karya baharu setanding impak lagu tersebut. Penantian panjang itu menimbulkan persoalan, bilakah Nadeera akan kembali dengan ledakan seterusnya?

Bukan tidak mendengar rintihan peminat, pemilik nama sebenar Farah Nadeera Zaini itu mengakui segala permintaan sentiasa berada dalam radar perhatiannya. 

Cuma katanya, setiap langkah perlu diatur cermat agar hasilnya benar-benar berbaloi.

“Saya mendengar permintaan peminat. Insya-Allah memang ada perancangan untuk keluarkan single baharu selepas Bukan Lagi Kita.

“Sebenarnya lagu tersebut sepatutnya dilancarkan sebelum raya, tetapi kerana musim perayaan ketika itu sudah hampir, saya memilih untuk keluarkan lagu raya dulu supaya tidak mengganggu pasaran.

“Semestinya bukan mudah untuk mencipta nama. Saya juga teringin menghasilkan karya lebih berimpak buat peminat,” katanya kepada HibGlam.

Lebih daripada sekadar mengejar populariti, naib juara Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) itu mengakui, kini berada dalam fasa mengukuhkan jenama diri sebagai anak seni serba lengkap.

“Saya mahu separuh kedua tahun ini menjadi fasa memperkukuhkan kedudukan saya dalam industri.

“Misi saya adalah menghasilkan karya berkualiti, memperbaiki diri sebagai penghibur di pentas dan memastikan setiap langkah membawa saya ke tahap lebih tinggi.

“Saya tahu ramai menantikan lagu baharu saya. Sebab itu saya sangat menitikberatkan kualiti, tidak mahu keluarkan sesuatu sekadar memenuhi permintaan tetapi akhirnya menghampakan. 

“Itu paling penting buat saya sebagai seorang artis,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Nadeera kini rancak memenuhi undangan nyanyian di pelbagai acara, selain tekun menyiapkan material terbaharu sebagai hadiah buat peminat setia. 


Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok