PELAKON dan model jelita, Natasha Hudson berkongsi berita gembira dirinya kini hamil anak keempat hasil perkahwinan kelima bersama suami, Muhammad Harits Jasmin atau Jay Jasmin.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Natasha atau nama lengkapnya Natasha Liana Hudson, 41, turut memberitahu walaupun kandungan kini sudah masuk trimester kedua, dia masih aktif melakukan sukan luncur air atau surfing.
“Jika ada yang tertanya-tanya saya kembali surfing ketika trimester kedua ini, saya sebenarnya tidak terfikir boleh jadi sekuat ini.
“Menjadi kuat adalah keperluan untuk semua ibu mengandung. Sebenarnya agak sukar untuk melakukannya dengan keadaan perut sebegini. Namun, saya mampu melakukannya dengan mudah,” ujar Natasha.
Ujar pelakon filem Chermin itu lagi, dia dapat melakukan aktiviti sukar luncur air dengan mudah kerana menggunakan teknik yang betul bagi ibu mengandung.
Malah, dia mengakui melakukan aktiviti lasak sewaktu hamil tiga anaknya sebelum ini dan akan kekal aktif untuk kehamilan kali ini.
“sukan lasak itu sangat baik dan memberikan ketenangan. Saya sangat aktif sewaktu hamil tiga anak yang lain dan akan terus aktif untuk kehamilan kali keempat ini sehingga saya bersalin,” ujarnya.
Meninjau dalam ruangan komen, ramai pengikutnya kagum dengan kekuatan dan kecekalan Natasha untuk terus aktif melakukan sukan lasak.
Pun begitu, pengikutnya juga meminta Natasha untuk berhati-hati kerana bimbangkan keselamatannya dan bayi dalam kandungan.
“Alhamdulillah tahniah. Kagum betul. Semoga semuanya selamat dan baik-baik sahaja,” ujar seorang pengikutnya.
“Tahniah. Anda seorang wanita yang kuat. Jaga diri baik-baik,” pinta seorang lagi pengikutnya.
Sebelum ini, Natasha, 41, ketika ditemui media pernah memberitahu keinginannya untuk memiliki cahaya mana secepat mungkin kerana faktor usia.
Bagaimanapun kata Natasha, dia mahu menstabilkan kedudukan kewangan keluarga terlebih dahulu,sebelum memutuskan untuk hamil lagi.
“Saya selalu usik suami tentangnya (untuk memiliki anak), namun kami kena stabilkan dahulu keluarga, punca rezeki dan anak-anak (hasil perkahwinan terdahulu),” kata Natasha.
Untuk rekod, Natasha dan Jay Jasmin sah bergelar suami isteri pada 28 Mac tahun lalu dengan bersaksikan keluarga serta teman rapat dalam majlis sederhana yang berlangsung di Masjid Al Umm, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Dalam satu kenyataannya, Natasha berharap perkahwinan kali kelimanya itu tidak disensasikan pihak media.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Natasha memiliki tiga anak perempuan iaitu Neesa Helena, Naeema Kalila dan Faatimah. – HIBGLAM