KJ, Shahril Hamdan tundukkan Amelia Henderson

BAGI menghargai bakat anak tempatan Malaysia dan kisah inspirasi yang dikongsikan melalui ruang podcast, SYOK menganjurkan Anugerah Podcast SYOK 2023 8 Disember lalu. 

Pemenang dinilai berdasarkan ketulenan, keunikan, penceritaan, jumlah pendengar dan kriteria ditetapkan semasa proses pencalonan merangkumi pelbagai bahasa termasuk bahasa Malaysia, Inggeris, Cina serta Tamil.

Pemenang anugerah bagi kategori utama dipilih berdasarkan undian  orang ramai melalui laman rasmi SYOK yang bermula 30 November hingga 4 Disember 2023. 

Sebanyak lima kategori utama iaitu  Podcast of The Year, Favourite Episode Podcast, Favourite Radio Podcast, Favourite Celebrity Podcast dan Independent Podcast. 

Terdapat juga kategori khas iaitu Icon Award dan Radioinfo Awards Asia yang dinilai pihak juri profesional.

Antara kesemua kategori, penonton lebih menumpukan perhatian terhadap kategori Independent Podcast yang melibatkan beberapa nama terkenal. 

Menerusi kategori tersebut, Amelia Henderson dengan podcast terbitannya, Sembang Studio ditewaskan  podcast Keluar Sekejap milik Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan yang membincangkan isu politik semasa. 

“Sebelum ini saya tidak cukup undi semasa Pilihan Raya Umum (PRU) tetapi kali ini cukup orang undi saya buat anugerah ini. 

“Semoga saya dapat kembali ke pentas sama untuk memenangi anugerah ini,” katanya selepas penyerahan trofi terbabit.

Selain itu, bagi kategori Favourite Celebrity Podcast pula penyanyi Ziana Zain dinobatkan sebagai pemenang sekali gus menundukkan pelakon muda Mierul Aiman dan penyanyi Punitha Raja.

Tidak disangka-sangka, Favourite Radio Podcast dimenangi saluran Sinar: Pagi Di Sinar menumpaskan Hitz FM: Hitz Morning Crew dan juga Goxuan: Beyond Musical. 

Kategori Podcast Of The Year pula dimenangi Marma Desam Musim Ketiga, Suited & Booted Musim Pertama (tempat kedua) dan Ultras Kuaci Musim Kedua di tempat ketiga. 

Sementara Favourite Episode Podcast dibolot podcast cerita seram seperti Ghost With You: Hishiko (tempat pertama), Cerita Hantu Seram: Fazziq Muqris (tempat kedua) dan Aadukalam: Mahendran Supremaniam (tempat ketiga). 

Bagi kategori khas, Icon Award dimenangi PodcasThinker (Thinker Studios). 

Manakala, Radioinfo Podcast Awards Asia dianugerahkan kepada dua pemenang iaitu Sembang Atas Dulang: Society And Wellness Podcast Of The Year dan Life Confessions: Health And Wellness Podcast Of The Year. 

Lebih menarik, Podcast berbahasa Tamil ‘RAAGAvil Marma Desam’ menerima anugerah Malaysia Book of Records untuk ‘Most Tamil Horror Podcast Downloaded In A Year’ dengan memperolehi 5,598,484 muat turun di platform podcast tempatan. 

Barisan penyanyi tersohor tampil membuat persembahan seperti Yazmin Aziz, Aisha Retno dan juga Nadeera bagi memeriahkan acara di AICB Centre of Excellence (ACE), Kuala Lumpur. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok