Saya bukan vokalis Iklim, selesa bergerak solo – Syafiq Farhain

PENYANYI Syafiq Farhain menafikan khabar angin menyertai kumpulan Iklim secara rasmi, sebaliknya hanya terbabit dalam sebuah projek khas yang bakal dilancarkan tahun depan.

Kata pemilik Nursyafiq Farhain AM Salim, 29, itu, dia tidak mungkin menggantikan posisi vokalis sekarang iaitu Azmani apatah lagi sibuk dengan kerjaya solo serta tanggungjawab hakiki selaku anggota bomba.

“Itu cuma khabar angin kerana orang salah faham sehingga  ada yang menganggap saya sudah bergabung di bawah kumpulan legenda ini sedangkan mereka sudah ada vokalis tetap.

Hakikatnya Iklim baharu mengajukan pelawaan itu beberapa bulan lalu malah dua lagu yang bakal dirakamkan juga masih dalam susunan dan dijangka dapat dilancarkan tahun depan.

“Pada masa sama saya juga masih selesa bergerak solo selain sibuk dengan tugasan sebagai anggota bomba. Ini projek khas, jadi saya terima,” katanya ketika dihubungi HibGlam.

Menurut anak keempat vokalis asal kumpulan itu iaitu Allahyarham Saleem, permintaan tersebut ditunaikan selepas hasrat berduet dengan bapanya tidak tercapai.

Sebelum ini memang saya teringin berduet dengan ayah tetapi tidak kesampaian, jadi apabila Iklim mempelawa kami buat projek khas, tak mungkin saya tolak.

“Bila lagi kan, lagipun ini band legenda yang bersama arwah bapa saya hingga namanya menjadi sebutan,” ulasnya.

Mengenai desas-desus mengatakan band asal Terengganu itu berdepan  konflik dengan Azmani, kata Syafiq perkara tersebut bukan di bawah pengetahuannya.

Terdahulu, timbul dakwaan naib juara Big Stage musim pertama itu menyertai Iklim menerusi perkongsian sebuah akaun TikTok yang memuat naik konten gambarnya bersama anggota band terbabit berlatar belakangkan lagu Iklim, Firasat Kasihku.

“Iklim 2023… Umarul (gitar), Huzali (keyboard), Mohalim (ketua/bass), Kama (dram) dan Syafiq (vokalis),” tulisnya pemilik akaun TikTok itu ringkas.

Malah kelibat Azmani atau Mohd. Azmani Mohd. Isa. yang menjadi penyanyi gantian sekitar 1994 seterusnya merakamkan single berjudul Mawar Kasturi tidak ada dalam hantaran tersebut.

Difahamkan Iklim yang pernah mencetuskan fenomena ketika zaman kemasyhuran empat dekad lalu masih mengekalkan anggota lama iaitu Mohalim selaku pemain bes, Umarul (gitar), Kama (dram) dan Huzali (Keybord).

Terdahulu, Saleem atau nama sebenarnya, AM Salim Abdul Majeed menghembuskan nafas terakhir, 14 Oktober 2018 pada usia 57 tahun selepas terbabit nahas motosikal. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok