SEJAK menetap di Kanada bersama suami tercinta 20 tahun lalu, Daud Leroy Abdullah, nama pelakon berkulit hitam manis yang terkenal sekitar era 1990-an itu perlahan-lahan hilang dari radar industri hiburan tempatan.
Jauh daripada lensa kamera, pemilik nama pentas Azah Aziz menjalani kehidupannya sebagai isteri sepenuh masa menguruskan rumah tangga dan membesarkan tiga zuriatnya, Aaron, Ryan dan Justin.
Bagaimanapun, sejak Julai lalu, Azah atau nama lengkapnya Norazah Aziz, 51, kembali ke Malaysia bersama keluarga berikutan urusan kerja suaminya.
Walaupun kepulangannya ke tanah air hanya untuk lima tahun, peluang itu tidak dilepaskan Azah untuk kembali aktif dalam bidang lakonan yang sudah lama dirinduinya.
“Keputusan balik ke Malaysia sebenarnya bukan untuk for good (selamanya), tetapi untuk tempoh lima tahun sahaja kerana suami ada kerja di sini.
“Hanya anak sulung dan bongsu (Aaron dan Justin) sahaja yang ikut balik sini. Manakala anak kedua (Ryan) berada di Dubai,” ujarnya.
Walaupun mengakui berasa gementar untuk kembali beraksi di hadapan kamera, rasa teruja melebihi segala-galanya apabila Azah tidak ragu-ragu menyambar tawaran yang diberikan kepadanya bagi melepaskan rasa gian beraksi di hadapan kamera.
“Alhamdulillah sejak pulang semula ke Malaysia, banyak tawaran berlakon drama yang saya dapat, tapi saya tidak boleh ambil semua sebab penat. Maklumlah, dah berumur.
“Mula-mula masuk ke set penggambaran selepas 20 tahun tidak berlakon, sejujurnya memang saya gementar.
“Memang seronok bila dapat berjumpa semula dengan kawan-kawan lama. Ada dalam kalangan mereka yang dahulunya kami berlakon bersama, sekarang sudah pun jadi penerbit dan pengarah.
“Saya terima tawaran berlakon pun disebabkan kawan-kawan juga. Bila mereka panggil, kenapa tidak,” ujarnya yang mendirikan rumah tangga pada usia awal usia 20-an itu.
Tambah Azah lagi, memandangkan anak-anaknya sudah dewasa, maka dia tidak keberatan untuk kembali bekerja, selain turut mendapat sokongan daripada suami tercinta.
“Anak-anak pun sudah besar. Daripada saya duduk di rumah sahaja, lebih baik saya kembali berlakon. Suami pun galakkan untuk saya kembali aktif sebab dia tahu saya masih sayangkan dunia lakonan,” katanya.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.