AKTRES jelita, Rozita Che Wan bersyukur dikurniakan suami yang tidak cerewet dan mementingkan perkara berkaitan tuntutan agama.
Kata pemilik nama sebenar Rozita Abu Bakar, sepanjang 10 tahun bergelar isteri kepada Zain Saidin, belahan jiwanya itu tidak pernah memintanya membuat kerja rumah.
“Alhamdulillah syukur untuk 10 tahun yang membahagiakan walaupun saya kadang-kadang jadi singa.
Untung dapat suami macam Zain. Paling tak cerewet, tak pernah suruh saya kemas rumah, basuh baju dan pinggan, saya keluar lepak balik pukul 4 pagi pun dia tak tanya.
“Cuma dia selalu ingatkan, sayang sudah solat? Dia akan tegur kalau aurat saya terdedah,” katanya dalam perkongsian di TikTok.
Pelakon drama Kiah Pekasam itu turut menitipkan pesan kepada golongan hawa supaya memilih pasangan yang bertanggungjawab untuk hidup bahagia.
Katanya, bukan menilai kemewahan, sebaliknya calon teman yang tepat adalah yang mampu menunaikan tanggungjawab sebagai suami dengan baik.
“Tak perlu lelaki kaya untuk rumah tangga yang bahagia, janji tahu tanggungjawab masing-masing.
Cari yang tahu agama dan praktikkannya bukan hanya tahu agama tapi jadi penunggang. Nauzubillah.
“Sebenarnya dalam apa juga keadaan membabitkan kehidupan ini, bersederhana itu adalah paling utama,” ujarnya.
Pasangan romantis yang mendirikan rumah tangga pada 11 Disember lalu itu sepatutnya mengadakan majlis istimewa bersama keluarga serta kenalan rapat.
Namun, Sabtu lalu Che Ta memaklumkan hasrat meraikan ulang tahun perkahwinan mereka terbantut selepas disahkan positif Covid-19.
Biarpun semua persiapan sudah disempurnakan, ibu kepada tiga cahaya mata itu memilih menangguhkan acara tersebut bagi mengelakkan risiko jangkitan kepada tetamu.
Hasil perkongsian hidup dengan aktor berkenaan, mereka dikurniakan seorang puteri, Aaisyah Dhia Rana yang kini berusia 10 tahun.
Che Ta juga mempunyai dua anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu iaitu Ammar Affendy, 27, dan Aniq Ezzra, 25. – HIBGLAM