Rachel Zegler puteri dongeng yang dibenci

SAYA tak akan menonton filem lakonannya walaupun secara percuma.”

Demikian antara berjuta peluru kata nista yang dilemparkan khalayak terhadap pemilik nama lengkap, Rachel Anne Zegler itu.

Bintang itu berdarah imigran di bumi Amerika Syarikat (AS) dan buat kebanyakan khalayak yang berona kulit ‘Taylor Swift’, itu satu masalah besar.

Ironi, ketika sekelompok orang cuba menjatuhkan kerjaya lakonan dan nyanyiannya, hanya satu arah yang menjadi dambaan bintang berusia 22 itu.

Motif hidupnya, hanya mahu mendaki puncak karier seni.

Kemilau seninya terus menyala terang selepas membintangi filem West Side Story yang diluncurkan sekitar 2021.

Kejayaan pecah panggung filem terbaharu, The Hunger Games: The Ballad of Songbirds & Snakes, pula semakin memarakkan kebencian orang berkulit putih di negara Uncle Sam terhadap pencapaian anak muda itu.

Pemain watak Lucy Gray dalam prekuel Hunger Games itu sudah cukup molek, bukan sahaja paras rupa dan momentum karier, namun ada sahaja yang tidak berpuas hati dengan apa dikerjakannya.

MESKI berbakat besar dan membuktikan kemenjadiannya menerusi beberapa karya hebat, Rachel Zegler sering menjadi mangsa cemuhan mereka yang bersikap perkauman.

Api kebencian peminat dibahangkan lagi dengan kejayaannya mengunci watak utama dalam filem Snow White yang akan ditayangkan pada 2025.

“Rachel bukan Snow White, dia ‘Snow Brown’. Baik panggil Terry Crews sahaja berlakon watak Snow White,” demikian antara amarah dilontarkan peminat.

Rachel tidak melakukan apa-apa selain mengejar cita-cita sebagai seorang anak wayang.

Dia sendiri terkejut dipilih melakonkan watak Snow White oleh gergasi penerbitan filem terkemuka global, Disney.

“Saya sendiri menangis sampai mata saya hampir terkeluar melihat nama saya tertera sebagai Snow White.

Saya sangat menghargai sokongan yang ditunjukkan orang ramai yang mempertahankan diri ini di gelanggang media sosial. Tapi, tolong jangan ‘tag’ saya dalam perbincangan atau pergaduhan yang mengarut.

“Saya percaya sesiapa yang pernah bergelar kanak-kanak memiliki hak untuk menjadi puteri dongeng,” katanya menerusi muat naik status dalam aplikasi X.

Rachel diherdik peminat tegar Snow White yang menyifatkan buah fikirannya terlalu moden untuk kisah klasik yang menjadi kesayangan golongan kanak-kanak seluruh dunia.

Dalam satu wawancara, dia mengatakan bahawa, Snow White tidak sepatutnya ‘terpenjara’ dalam naratif lama atau lapuk yang menyaksikan mendiang bapanya membuatkan dirinya terperuk.

Dia tidak akan diselamatkan oleh putera raja. Dia takkan bermimpi tentang cinta sejati. Sebaliknya, Snow White akan bermimpi untuk memimpin kehidupannya,” katanya seperti dipetik Variety.

Barangkali hanya disebabkan kenyataan tersebut yang dibutirkan dalam bentuk perkataan ketika berusia 21 tahun, dia dihukum selama-lamanya.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok