Aliff Aziz gagal mara separuh akhir GV10

IMPIAN penyanyi Aliff Aziz melangkah ke peringkat separuh akhir All Star Gegar Vaganza (GV10) terkubur selepas diumumkan tersingkir pada konsert suku akhir malam ini.

Mendendangkan lagu Cindai dan Gambus Jodoh, Aliff meraih markah terendah pada konsert yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam.

“Saya sangat berbesar hati diberi peluang bertanding selama 10 minggu.

“Terima kasih kepada semua yang memberi kata-kata positif dan semangat selama ini,” katanya selepas diumumkan tersingkir.

Sementara itu, kedudukan teratas menjadi milik penyanyi Naqiu yang juga juara GV musim keenam selepas meraih markah tertinggi daripada tiga juri tetap.

Tempat kedua pada konsert minggu ini pula menjadi milik penyanyi Hady Mirza manakala juara musim kesembilan, Jaclyn Victor pula berada di tangga ketiga.

Penyingkiran tersebut sekali gus menyaksikan Naqiu, Liza Hanim, Hady Mirza, Azharina dan Jaclyn Victor berjaya mara ke peringkat separuh akhir minggu depan.

Sementara, Siti Nordiana dan Tomok turut berjaya ke peringkat seterusnya.

Sebelum ini, Suki Low, Cliff Umar, Datuk Aishah, Ayai Illusi, Zamani, Ezad Lazim dan Noryn Aziz merupakan peserta yang sudah meninggalkan pentas GV10.

Rancangan popular itu menyaksikan kesemua bintang diadili juri profesional iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz.

Konsert GV10 diacarakan trio pengacara, Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Juara GV10 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM200,000 beserta trofi sumbangan Astro. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok