Sado? Berpijaklah di bumi nyata – Zahiril Adzim

Mungkin faktor usia. Itu yang yang berlegar dalam fikiran Zahiril Adzim saat memikirkan soal tawaran yang mulai kurang mutakhir ini.

Akui pelakon berusia 39 tahun itu, jadualnya kosong sejak Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.

“Naskhah terakhir lakonan saya adalah filem Budak Flat untuk Prime Video kemudian tiada tawaran sehinggalah baru-baru ini ada penggambaran untuk drama TV3, hanya watak pembantu sahaja.

“Tidak tahulah mengapa situasi itu berlaku sehingga tiada tawaran yang masuk. Saya anggap tiada rezeki,” kata pemilik nama penuh Muhammad Zahiril Adzim Mohd. Mokhtar itu kepada HibGlam baru-baru ini.

Ditanya sama ada terbuka untuk menerima watak lelaki bertubuh kekar, aktor itu berkata dia akan meneliti keperluan untuk jalan cerita terlebih dahulu.

“Saya bukan anti hero sado tetapi kalau lihat semula, pemenang Oscar pun tidak ada badan sebegitu.

“Okey sahaja untuk pegang watak sebegitu tetapi perlu teliti apa keperluan untuk jalan cerita.

“Janganlah suruh saya pegang watak lelaki kampung atau miskin tetapi badan kekar. Celah mana pula dapat duit pergi gimnasium,” selorohnya.

Mengulas lanjut, paparan watak hero berbadan kekar hari ini lebih kepada terbawa-bawa budaya industri hiburan di Hollywood.

Sebaliknya, paparan yang hendak dihidangkan kepada penonton tempatan haruslah bersifat realistik dan sesuai dengan budaya serta cara hidup masyarakat negara ini.

“Mungkin kita terlalu mengikut cara di Hollywood untuk sado tetapi hakikatnya mereka tinggi, kita pula saiz orang Asia yang adakalanya nampak tak kena.

“Semuanya perlu berbalik kepada budaya dan berpijaklah di bumi yang nyata. Bolehlah ada badan cantik sebegitu, tetapi biarlah realistik.

“Kalau dapat watak orang susah, badan kekar, kau makan apa? Angkat kelapa sawit hari-hari?” getusnya.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok