Saya okey, doakan seorang lagi rider – Beto Kusyairy

PETALING JAYA – “Tiada yang patah, hanya cedera ringan.”

Itu antara yang dikongsi pelakon Beto Kusyairy mengenai keadaan semasa dirinya selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Utara Selatan, berhampiran Ladang Bikam kelmarin.

Menurut Beto, kesihatan dirinya berada dalam keadaan baik dan hanya mengalami luka-luka kecil sahaja.

“Saya cuma nak kemas kini mengenai kecelakaan yang berlaku sewaktu konvoi yang menghala ke Ipoh, Perak untuk bersolat hajat di masjid negeri.

“Sewaktu perjalanan saya dan dua orang lagi penunggang motosikal terlibat dalam kemalangan.

“Saya okey, Alhamdulillah tiada anggota badan yang patah atau retak selepas buat pemeriksaan X-ray. Hanya sekadar luka-luka kecil. Datuk Awie juga okey,” katanya dalam sebuah video Instagram hari ini.

Dalam rasa syukurnya itu, pelakon filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan tersebut turut meminta orang ramai mendoakan agar seorang lagi mangsa yang ketika ini berada dalam keadaan kurang baik.

“Saya cuka nak minta doakan seorang lagi rider yang keadaannya agak kurang baik. Doakan kesejahteraan beliau agar diberikan kekuatan padanya.

“Semoga keluarganya juga kuat hadapi dugaan ini,” katanya lagi.

Menerusi video sama, dia juga sempat menitipkan pesanan kepada semua penunggang motosikal agar sentiasa berhati-hati di jalan raya terutama pada musim hujan.

“Pesanan akhir saya ialah kepada rider yang nak teruskan perjalanan jauh. Mohon berhati-hati sebab sekarang musim hujan dan jalan licin.

“Apapun, terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan dan risau tentang keadaan saya,” ujarnya.

Kelmarin, Beto yang menyertai konvoi Solidariti Wings Motogang Society ke Masjid Negeri Ipoh dilaporkan terbabit dalam kemalangan.

Dalam kejadian yang berlaku di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Ladang Bikam, jentera ditunggang bintang filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu terjatuh selepas bergesel dengan motosikal lain yang memasuki laluannya secara tiba-tiba.

Konvoi berkenaan adalah sebahagian daripada usaha menunjukkan sokongan terhadap rakyat Palestin yang berdepan kekejaman Zionis. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok