BAPA tercinta meninggal dunia awal bulan lalu, anggota kumpulan Shinhwa, Junjin mengakui separuh jiwanya bagaikan hilang dan merasakan hidupnya tidak lagi bermakna.
Kata Junjin, bapa merupakan insan paling rapat dengannya yang banyak mengajarnya makna keluarga dan kehidupan.
“Separuh jiwa saya telah pergi bersama ayah, hidup saya tidak lagi bermakna tanpa dia. Kepada siapa saya mahu berkongsi cerita mahupun mengadu masalah.
“Hanya ayah yang memahami, tidak pernah sekali pun dia meninggalkan diri ini, namun kini dia telah pergi, jauh daripada anaknya,” kata Junjin.
Menurut laporan Sports Chosun, bapa Junjin, Charlie Park meninggal dunia pada usia 68 tahun.
Upacara pengebumian berlangsung di Dewan Pengebumian Hospital Metro Anyang dan hanya akan dihadiri rakan serta keluarga terdekat.