PENYANYI Khai Bahar dijangka akan dibenarkan pulang ke rumah esok, selepas dua hari ‘berkampung’ di hospital akibat dijangkiti demam viral.
Menurut pengurusnya, Mohammed Rizal Mohammed Yasin, keadaan penyanyi itu sudah semakin bertenaga berbanding hari pertama ketika dimasukkan ke wad.
“Sebenarnya ini kali pertama Khai masuk hospital. Alhamdulillah kesihatannya bertambah baik, cuma tekak masih sakit disebabkan ulser.
“Kalau semuanya okay, mungkin esok Khai sudah boleh baik, tapi kena rehat sampai betul-betul sembuh,” katanya ketika dihubungi HibGlam.
Menurut Mohammed Rizal atau Jai, Khai juga tidak sabar membuat persediaan menghadapi konsert di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada Sabtu ini.
Biarpun belum dapat membuat latihan penuh, katanya penyanyi Bayang itu sempat berlatih menari bersama pasukan pengiring sebelum diserang demam.
“Kita tengok macam mana nanti, apa yang pasti Khai tetap bersemangat menanti tarikh persembahan mega pada 11 November ini.
“Doakan semua urusan dilancarkan sehingga hari Konsert Solo Khai Bahar nanti,” ulasnya lagi.
Ahad lalu pemilik nama sebenar Muhammad Khairul Baharuddin, 29, itu tetap menyempurnakan persembahan di Istana Budaya walau dalam keadaan tidak sihat.
Selepas suhu badannya naik mendadak sehingga menggigil, dia dibawa ke hospital kerana disyaki denggi, namun hasil pemeriksaan mengesahkan serangan demam viral. -HIBGLAM