Fenomena My Famous Ex-Boyfriend

SEGAR dan remaja. Dua frasa tepat bagi menggambarkan drama terbaharu adaptasi novel, My Famous Ex-Boyfriend khusus buat pencinta kisah romantik.

Naskhah yang sudah pun menghiasi televisyen bermula 23 Oktober lalu itu sarat pengajaran dan kisah menarik selain menjangkau standard kebiasaan naskhah genre sama.

Mendapat sentuhan Hadith Omar selaku pengarah, karya bertema cinta ala-ala K-drama itu dijangka mampu mencetuskan fenomena.

Melalui plot yang dekat dengan penonton seperti cinta pertama pada usia remaja, suka duka yang dirasai pada fasa cinta monyet menjadi daya tarikan drama berkenaan.

Tidak hanya sekadar menyajikan alur cerita cinta, naratif drama berkenaan juga mengetengahkan isu semasa seperti tekanan yang dihadapi mangsa buli siber terutama dalam kalangan orang muda.

Memaparkan naratif yang dekat di hati penonton khususnya anak muda, siri My Famous Ex-Boyfriend lakonan Hael Husaini dan Qasrina Karim dijangka bakal mencetuskan fenomena.

Pengarahnya, Hadith Omar berkata, banyak berlaku penambahan dan garapan idea untuk menyokong idea asal daripada novel agar memberikan kesan dinamik dalam kisah seumpama itu.

“Meskipun idea asal naskhah ini bersandarkan novel, namun saya cuba mengembangkan jalan cerita agar lebih menarik.

“Contohnya watak Haque Zuhal lakonan Hael Husaini, dalam novel watak asalnya hanya sebagai sampingan dan penguat watak Sameera sahaja, jadi kami kembangkan watak Haque Zuhal supaya lebih memberi impak.

“Boleh dikatakan separuh jalan cerita telah dikembangkan dan ditambah baik demi menyuntik kesan dramatik,” katanya.

Dalam pada itu, Hael mengakui teruja memegang watak utama bagi drama lakonan sulungnya meskipun ditikam pelbagai kecaman netizen.

Pemilik nama penuh Hal Husaini Razmi itu juga terkejut selepas pihak produksi drama memintanya untuk mengikuti uji bakat watak utama.

“Semasa uji bakat, saya terkejut tengok banyak kamera dan diminta pula membaca skrip.

“Kemudian pengarah tepuk tangan dan berkata, saya adalah calon yang dicari.

“Secara jujurnya jiwa saya sebagai pelakon memang tiada sebelum ini sebab hidup saya memang dalam studio sahaja,” ujarnya.

Pelakon Qasrina Karim yang memegang watak Sameera pula lebih banyak berdepan cabaran emosi dan hala tuju lakonan supaya benar-benar berkesan dan sampai kepada penonton.

“Banyak babak yang mencabar seperti di dalam hujan, bayangkan satu badan saya lencun tetapi dengan kerjasama semua pelakon, adegan itu berjaya dilakukan.

“Saya akui watak ini memberi kematangan kepada saya dalam lakonan, bergandingan pula dengan Heal dan Nadhir ternyata mudah untuk mencipta keserasian. Pengarah pula memberi kebebasan untuk saya ‘improvise’ dialog,” ujarnya.

Menemui penonton menerusi saluran Astro Ria setiap Isnin hingga Khamis, drama yang turut menampilkan Nadhir Nasar itu mengisahkan kehidupan Sameera yang bertemu dengan Ishaak ketika remaja dan saling jatuh cinta.

Bertahun kemudian, hubungan mereka diuji apabila Ishaak bergelar selebriti popular dengan nama Haque Zuhal.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok