Saya bebas kanser, ketumbuhan mengecut – Jasmin Hamid

AKTRES Jasmin Hamid meluahkan rasa lega ketumbuhan dalam rahim yang dihidapinya sebelum ini disahkan bukan kanser.

Jelas pemilik nama penuh Jasmiah Abdul Hamid itu, ketumbuhan dalam rahimnya juga semakin mengecil sehingga doktor doktor tidak menyarankannya melakukan pembedahan.

“Saya mahu berkongsi dengan semua mengenai keputusan pembedahan saya baru-baru ini. Alhamdulillah, Doktor maklumkan saya bebas kanser rahim.

“Doktor juga beritahu ‘cyst’ (ketumbuhan) pada bahagian sebelah kiri rahim pun sudah hilang manakala sebelah kanan semakin mengecut.

“Doktor beritahu mungkin saya tak perlu buat pembedahan buang ketumbuhan itu,” katanya menerusi sebuah hantaran dalam Instagram.

Begitupun, pelakon berusia 50 tahun itu memaklumkan bahawa dia masih perlu menjalani pemeriksaan secara berkala bagi memastikan ketumbuhan pada bahagian kanan rahimnya tidak kembali membesar.

“Doktor beritahu kesihatan saya semakin pulih, saya sendiri tak tahu nak cakap macam mana sebab lega apabila bebas  kanser rahim.

“Alhamdulillah, ini semua dengan izin dan rahmat Allah serta berkat doa keluarga, rakan-rakan dan semua yang sayangkan saya,” ujarnya.

Pada September lalu Jasmin mendedahkan dia terpaksa menjalani pembedahan kecil pada ulang tahun kelahirannya.

Akui pelakon Joyah itu, hatinya terguris berikutan komen negatif netizen yang menghina perubahan fizikalnya tanpa mengetahui masalah kesihatan yang sedang dihadapi.

Jelasnya, perubahan itu disebabkan masalah ketumbuhan dalam dan hormon tidak teratur sehingga dia mengalami pendarahan.

Tahun lalu, Jasmin juga mengalami serangan jantung dan ditempatkan di Unit Rawatan Koronari (CCU) namun tahap kesihatannya beransur pulih selepas mendapat rawatan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok