AKTOR legenda tanah air, Eman Manan dianugerahkan Darjah Kebesaran Dato Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T) yang membawa gelaran Datuk sempena Ulang Tahun Ke-64 Hari Keputeraan Sultan Terengganu Istana Syarqiyyah, Chendering, Terengganu hari ini.
Darjah kebesaran tersebut dikurniakan oleh Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin pada Istiadat Penghadapan dan Pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu.
Eman Manan atau nama sebenarnya Abdul Manan Embong, 68, merupakan antara penerima darjah kebesaran negeri yang diiktiraf menerusi sumbangan dan jasa dalam industri seni khususnya dunia lakonan tanah air.
Anak kelahiran Kuala Terengganu itu mula menceburkan diri dalam dunia lakonan menerusi filem Matinya Seorang Patriot arahan Datuk Rahim Razali ketika berusia 26 tahun.
Selama lebih empat dekad berkelana sebagai anak seni, Eman telah membintangi pelbagai watak ikonik dalam drama, filem, teater dan iklan televisyen sehingga mengangkatnya sebagai antara aktor tersohor tanah air.
Hasil usaha dan bakat hebat yang dimiliki, antara anugerah yang berjaya dimenangi ialah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) sebanyak tiga kali, termasuk menerusi filem pertamanya, Matinya Seorang Patriot (1984), Bintang Malam (1991) dan Buai Laju-Laju (2004). Pengiktirafan berprestij yang diterima hari ini menjadi satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan karier seni beliau.
Terbaharu, bintang yang juga cukup disegani dengan naskhah kepahlawan dan persilatan Melayu itu bakal muncul menerusi filem aksi iaitu Takluk 2: Op Daulat pada November depan dan karya arahan Erma Fatima, Langit 2 Warna. – HIBGLAM
