MUTAKHIR ini, kemesraan Datuk Fazley Yaakob dan Datuk Seri Vida semakin mencuri perhatian apabila pelbagai konten membabitkan mereka berdua kerap dikongsikan menerusi media sosial.
Ada yang menyangka keakraban tersebut sekadar gimik atau strategi mencipta konten, malah tidak kurang juga yang ‘sakit mata’ melihat kemesraan mereka yang dianggap terlalu terbuka.
Di sebalik segala persepsi tersebut, Fazley, 48, tampil menjelaskan hubungan mereka bukan sesuatu yang direka untuk meraih perhatian, sebaliknya sudah sampai ke tahap memikirkan soal perkahwinan.
Penyanyi dan cef selebriti itu bahkan tidak berselindung mengakui impian untuk mendirikan rumah tangga bersama usahawan sensasi terbabit memang ada, cuma mereka belum menetapkan bila impian tersebut akan menjadi kenyataan.
“Impian ke arah itu (perkahwinan) memang ada. Sudah tentu tidak ada perhubungan secara terbuka begini kalau sekadar mahu suka-suka.
“Bagi saya, sekarang bukan lagi soal ‘jika’ berlaku tetapi ‘bila’ akan berlaku. Perancangan itu ada, cuma kami tidak tahu bila,” katanya kepada HibGlam.

AKRAB sejak sama-sama menyertai TTMM2, hubungan Fazley dan Vida bukan biasa-biasa, untuk sekadar konten sebalik serius dan ada hala tuju.
Menurut Fazley, pada usia dan fasa kehidupan sekarang, hubungan sebegitu tidak boleh dilihat seperti percintaan pasangan muda kerana kedua-duanya membawa komitmen besar, termasuk anak-anak, keluarga dan perniagaan.
Fazley merupakan bapa kepada empat cahaya mata, manakala Vida, 55, pula mempunyai dua anak, sekali gus menjadikan proses penyatuan dua keluarga memerlukan masa dan pertimbangan lebih panjang.
Akui penyanyi Asmara Ini juga, perbincangan mengenai masa depan hubungan mereka sudah berlaku, namun permintaan anak-anak supaya mereka tidak terburu-buru tetap dihormati.
“Saya hormat permintaan Cik B dan Kacak yang kata jangan terlalu laju. Anak-anak saya juga pesan supaya kami ambil masa. ‘
“Andai kata dua keluarga ini bersatu nanti, perkara nombor satu adalah anak-anak. Anak-anak saya dengan anak Vida pun sangat rapat, memang sudah macam adik-beradik,” ujarnya.
Group CEO
Di sela-sela percintaan yang menjadi perhatian, Fazley turut membuat satu lagi pendedahan mengejutkan apabila mengakui sebenarnya sudah lama mempunyai hubungan profesional dengan Vida.
Menurut penyanyi dan cef selebriti itu, dia merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Group CEO) bagi segala urusan berkaitan segmen makanan dan minuman (F&B) di syarikat milik Vida.
“Sebenarnya ramai yang tidak tahu saya adalah Group CEO syarikat Vida untuk F&B.
“Jadi, kami sebenarnya adalah rakan perniagaan. Benda ini terjadi semasa menyertai program Talk To My Manager,” dedahnya.

BUKAN mengejar harta Vida, Fazley bertegas, dia juga punya aset dan berasal daripada keluarga berada.
Disebabkan hubungan perniagaan tersebut sudah wujud, Fazley mengakui tidak pelik sekiranya ada yang melihat keakraban mereka sekarang sebagai strategi pemasaran mahupun gimik.
Fazley menegaskan pertemuan dua dunia mereka berlaku tanpa dirancang dan pada awalnya turut didorong oleh anak-anak yang mahu melihat kedua-duanya mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat.
“Kalau tengok kami, macam ayam dengan itik bercakap. Dunia dia lain, dunia saya lain. Cara bercakap, cara buat kandungan (konten) pun sangat berbeza.
“Tetapi sebenarnya kami masih dalam kelompok yang sama, dua manusia yang mencari kebahagiaan, mencari rezeki, masing-masing ada anak dan perniagaan sendiri,” katanya.
Fazley berkata, dia semakin selesa dengan Vida selepas mengenali pesona sebenar usahawan itu yang jauh berbeza daripada imej yang sering dipaparkan di hadapan kamera.
Di sebalik imej lantang dan penuh warna yang dikenali ramai, Vida mempunyai perwatakan berbeza apabila bersama keluarga.
“Bila kamera ditutup, saya tengok dia sangat berbeza. Dia seorang ibu yang sangat penyayang, majikan yang prihatin, menjaga adik-beradik dan keluarga serta seorang ibu yang tabah.
“Dia juga sering berkongsi tentang ilmu agama. Kadang-kadang saya panggil dia ustazah kerana banyak perkara yang dikongsikan dan bahagian itu yang membuatkan saya kagum,” katanya.
Persamaan
Selain memiliki pengalaman sebagai ibu dan bapa tunggal, Fazley memberitahu mereka turut menemukan banyak persamaan lain, termasuk amalan agama, makanan, minat serta beberapa perkara kecil yang tidak pernah dijangka sebelum ini.
Justeru, Fazley berkata hubungan tersebut bukan tercetus kerana pesona popular Vida atau apa yang dipamerkan dalam media sosial, sebaliknya selepas mereka mengenali hati budi masing-masing.

SIBUK dengan perniagaan, komitmen bakal imam dan serta Group CEO syarikat Vida, Fazley masih sempat turun ke set penggambaran demi anak lelakinya, Fariedz.
Namun kemesraan itu turut mengundang persoalan segelintir pihak termasuk dakwaan, kononnya Fazley mendekati Vida kerana harta atau kepentingan perniagaan.
Tidak melenting dengan tanggapan tersebut, Fazley mengingatkan bahawa dia sendiri datang daripada keluarga berada, selain mempunyai empayar dan jenama yang dibina sejak sekian lama.
“Keluarga saya keluarga berada, rasanya ramai tahu. Arwah bapa saya juga mempunyai perniagaan sendiri. Jenama Fazley pula bukan jenama kecil.
“Saya menjadi duta kepada hampir 20 jenama antarabangsa. Kalau melihat secara positif, apa yang mungkin berlaku adalah dua jenama besar Malaysia berkemungkinan bersatu menjadi satu empayar perniagaan yang lebih besar,” katanya.
Bagaimanapun, Fazley menegaskan soal empayar atau perniagaan bukan perkara paling utama sekiranya hubungan tersebut benar-benar berakhir dengan perkahwinan.
“Yang jauh lebih penting, akar kepada semuanya adalah anak-anak ini bersatu sebagai sebuah keluarga,” jelasnya.
Dalam masa sama, Fazley sedar, perhatian luar biasa terhadap dirinya sejak kebelakangan ini turut membuka lembaran baharu apabila interaksi akaun Instagramnya melonjak daripada sekitar 1.2 juta kepada 16 juta dalam tempoh kurang sebulan.
Selain kemunculan dalam Talk To My Manager, perkongsian spontan di Threads dan kandungan media sosial turut menyebabkan namanya kembali menjadi perbualan ramai, sesuatu yang disifatkan sebagai fasa kemunculan semula buat generasi yang pernah mengenalinya dan generasi baharu.
“Dahulu saya bermula sebagai artis zaman kaset, kemudian CD, digital dan sekarang media sosial. Ini seperti era baharu Fazley,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fazley yang baru muncul dengan single Janji Iba turut kembali aktif dalam bidang lakonan selepas 15 tahun.
Bakal muncul dengan telefilem Tok Wan On Duty siaran Astro, kata Fazley, dia kembali berlakon kerana anaknya, Fariedz.
“Sudah lama tidak berlakon, ingatkan sudah lupa tetapi syukur bakat lakonan masih belum berkarat. Selepas ini banyak lagi perancangan seni termasuk promosi single terbaharu,” tutupnya. – HIBGLAM
