Dunia hiburan sentiasa dekat di hati saya – Bkay Nair

PERNAH meminjam pesona menerusi watak Shireen dalam filem Ratu pada 2011, Bkay Nair kini selesa mengatur langkah dalam dunia korporat, membina perniagaan serta memperjuangkan masa depan industri fesyen tempatan.

Berbekalkan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), wanita dengan nama sebenar Tryambikay Vengades Nair itu membuktikan perjalanan seorang anak seni tidak menemui penamat apabila wajah tidak lagi dirakam kamera.

Sebaliknya, pengalaman dalam bidang hiburan menjadi bekalan buatnya meneroka ruang lebih luas, daripada latihan korporat hingga pembangunan ekosistem fesyen.

Memuatkan artikel berkaitan…

Meskipun sudah lama tidak menghiasi layar perak, kerinduan terhadap dunia seni masih kekal dalam dirinya, malah selepas hampir tujuh tahun tidak aktif berlakon, Bkay mengakui minat terhadap dunia kreatif tidak pernah padam selain kini mula merancang beberapa projek baharu, termasuk dokumentari fesyen.

Ujar Bkay, tumpuannya terhadap perniagaan menyebabkan dunia lakonan terpaksa diketepikan, apatah lagi syarikat latihan miliknya kini memasuki tahun ke-14 operasi.

“Sudah lama saya tidak berlakon. Kali terakhir menerusi filem Banglo 99, sekitar 2019 sebelum pandemik melanda. Selepas itu, saya lebih memberikan perhatian kepada perniagaan.

“Ikut kelulusan, saya sebenarnya seorang peguam, kemudian beralih ke dunia hiburan. Ketika masih aktif dalam bidang seni, saya sudah memulakan syarikat latihan sendiri tapi dunia hiburan sentiasa dekat dengan hati saya.

Minat tidak pernah hilang, cuma saya perlu bahagikan masa antara perniagaan dan fesyen. Apabila semakin dewasa, kita perlu menyesuaikan diri dengan perubahan fizikal dan keadaan semasa. Dahulu saya berbadan kecil, sekarang sudah berubah,” katanya kepada HibGlam.

Sisi kreatif lain

Biarpun sibuk dengan urusan perniagaan, wanita berusia 44 tahun itu tidak pernah memadam impian untuk kembali berkarya, malah penglibatannya dalam industri fesyen menjadi ruang untuk terus menyuburkan sisi kreatif selain membuka peluang meneroka bidang penerbitan.

“Memang ada perancangan jangka pendek dan panjang. Saya sudah berbincang serta mengemukakan cadangan untuk menghasilkan dokumentari berkaitan fesyen, batik dan pereka tempatan.

Bagaimanapun, ada cadangan terus mendapat perhatian, manakala sesetengahnya memerlukan masa. Saya faham proses itu dan akan terus berusaha.

“Mana tahu, apabila bertemu lagi tahun depan, mungkin dokumentari itu sudah pun diterbitkan,” jelasnya.

Ditanya sama ada bersedia kembali ke dunia seni atau mengembangkan sayap sebagai penerbit, Bkay tidak menolak kemungkinan, namun segala-galanya bergantung masa dan peluang.

REKA RONA 

Dalam perkembangan lain, Bkay baru-baru ini menganjurkan REKA RONA 2026 sebagai langkah penting untuk memperluas peluang ekonomi dalam industri fesyen, sekali gus mengubah persepsi bahawa bidang tersebut hanya berkisar kepada pereka dan pertunjukan busana.

Sebagai individu pernah bergelar model dan pelakon, Bkay turut menekankan peranan selebriti dalam menggerakkan ekonomi kreatif, khususnya dengan memanfaatkan pengaruh serta capaian mereka untuk memperkenalkan bakat tempatan kepada khalayak lebih luas.

Sebagai anak seni, kita berada dalam satu ekosistem yang saling berkait. Kalau kita mempunyai platform, gunakanlah platform itu untuk membuka peluang kepada orang lain.

“Peranan kita bukan hanya menjadi wajah kepada sesuatu produk atau koleksi.

“Kita juga boleh membantu memperkenalkan pereka, jurugaya, jurugambar, pereka grafik dan bakat lain supaya hasil kerja mereka mendapat perhatian,” jelasnya.

Di sebalik usaha mengembangkan potensi komersial fesyen, Bkay turut menjadikan pemeliharaan warisan tekstil Malaysia sebagai antara perjuangannya.

Katanya, kecintaan terhadap fesyen tempatan perlu seiring usaha mengangkat identiti budaya negara, terutama ketika generasi muda semakin terdedah kepada pengaruh fesyen global.

Untuk rekod, REKA RONA 2026 berlangsung pada 2 Oktober lalu di Kraftangan Malaysia, Kuala Lumpur, dengan penyertaan pelbagai pihak, termasuk institusi pengajian tinggi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok