DEMI kesihatan, pelakon Liyana Jasmay kembali mengikuti rutin diet selain mengamalkan gaya hidup sihat bagi menurunkan berat badan.
Liyana, 38, berkata, untuk mendapatkan semula berat ideal dia mencabar diri tidak mengambil gula selama 14 hari, mengurangkan karbohidrat dalam menu harian serta bersenam.
“Dah mula diet balik, nak fokus untuk 14 hari tanpa gula, kurangkan karbohidrat. Saya tidak berlapar, tetapi makan lebih protein dan briskwalk setiap hari.
“Saya boleh lakukannya! Siapa yang sama macam saya nak kurangkan berat badan?” katanya dalam perkongsian di platform Threads.
Akui pelakon filem Papadom itu, sebelum ini dia kerap berdepan cabaran yang membuatkan usahanya terbantut dan mudah berputus asa.
Bagaimanapun katanya, kali ini dia bertekad untuk lebih konsisten sekali guals berharap dapat menyuntik semangat kepada individu lain yang sedang berusaha menurunkan berat badan.
“Tetapi apakah cabaran anda? Saya selalu akan berhenti selepas hari ketujuh, tapi bukan kali ini ya! Kita boleh lakukannya bersama!” ujarnya.
Menerusi ruangan komen ramai netizen turut memberikan dorongan agar usaha tersebut diteruskan serta berkongsi pengalaman menurunkan berat badan.
“Saya pun tengah diet! Sama macam yang awak buat, tapi saya tiada gula, tiada karbohidrat, protien sahaja. Briskwalk belum mula sebab kaki sakit tapi dah buang empat kilogram dalam tempoh 10 hari. – HIBGLAM
