“KEHILANGAN yang sangat besar buat saya. Menggigil kepala lutut, nafas naik turun.
Demikian perkongsian dramatis Noorkhiriah yang bersedih dengan pemergian bintang veteran versatil, Allahyarham Jalil yang dilaporkan meninggal dunia di kediamannya sekitar pukul 12.30 tengah hari tadi.
Menurut Noorkhiriah atau nama lengkapnya, Noorkhiriah Ahmad Shapie, 50, Jalil bukan sekadar rakan seperjuangan malah sudah menganggap aktor itu sebagai bapa dan abang sepanjang penglibatan dalam industri seni.
“Mata saya jadi saksi Allahyarham adalah seorang abang dan ayahanda yang sangat baik.
Dah tak ada orang telefon saya tanya dah makan ke belum masa kerja,” katanya dalam Instagram.
Bagaimana pelakon drama Seribu Tahun itu turut meluahkan rasa ralat apabila tidak berkesempatan memberikan penghormatan terakhir secara bersemuka.
Dia sempat menitipkan doa yang berterusan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat.
“Abanglah abang, abang juga ayahnda. Allah jauhkan saya buat kali terakhir tak dapat tengok abang.
Yang mampu saya buat dari kejauhan, mendoakan semoga abang diamunkan segala dosa, di tempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
“Semoga Allah beri kesabaran dan kekuatan buat keluarga abang serta seisinya. Al-Fatihah,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Khiriah dan Jalil pernah bekerjasama dalam beberapa naskhah termasuk Ayahanda dan Laknat.
Hari ini, dunia hiburan dikejutkan dengan berita kehilangan Jalil Hamid yang meninggal dunia dalam tidur selepas berdepan masalah jantung. – KOSMO! ONLINE
